KUALA LUMPUR – Kementerian Luar hari ini bertindak memanggil Duta Besar Vietnam ke Malaysia, Le Quy Quynh berhubung pencerobohan beberapa kapal milik negara itu.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar berkata, satu bantahan dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap tindakan negara itu di perairan negara.

“Semasa mesyuarat itu, Kementerian menjelaskan bahawa sejumlah 748 kapal dan 7,203 orang Vietnam ditahan sejak tahun 2006 hingga 2019.

“Pencerobohan di perairan negara oleh nelayan Vietnam bukan sahaja menjadi ancaman kepada warganegara Malaysia tetapi juga pelanggaran kedaulatan Malaysia dan integriti wilayah,” demikian menurut Kementerian Luar.

Notis bantahan itu diserahkan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Raja Datuk ‘Nushirwan Zainal Abidin.

Malaysia dan Vietnam menjalinkan hubungan yang kukuh dalam pelbagai sektor di bawah rangka kerja perkongsian strategik antara kedua-dua negara.

Dalam pada itu, Le Quy Quynh berkata, pihak berkuasa Vietnam akan mengambil perhatian terhadap protes kerajaan Malaysia dan memberikan jaminan bahawa hubungan kedua-dua negara tidak akan terjejas.

“Jaminan juga diberi bahawa pencerobohan ini telah menyalahi undang-undang di bawah undang-undang Vietnam, dan pihak berkuasa tempatan akan dimaklumkan mengenai perkara itu,” kata kenyataan itu lagi. -MalaysiaGazette