Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Arutchelvan (tengah) bersama penduduk membuat demonstrasi selepas bekas pekerja ladang Bukit Jalil mendapat notis pengusiran di Ladang Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 MEI 2019

KUALA LUMPUR – “Kami lahir, membesar dan hidup di sini lebih 4 generasi dari zaman datuk nenek sehingga anak cucu kami ketika ini.

“Kenapa kami perlu mengosongkan tanah ini sedangkan kerajaan belum tunaikan tuntutan empat ekar tanah dan rumah teres yang pernah dijanjikan kepada kami,”.

Itu reaksi 41 keluarga bekas pekerja dari Ladang Bukit Jalil, satu-satunya ladang yang masih wujud di Lembah Klang sehingga hari ini.

Mereka yang kebanyakannya terdiri daripada kaum India dikejutkan dengan notis merah pengosongan tanah kerajaan dari Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan yang terima semalam.

MGF08052019_PC BEKAS PEKERJA LADANG_19
Penduduk, Shanti Rengasamy, 48 bercakap kepada media selepas mendapat notis pengusiran di Ladang Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 MEI 2019

Seorang wanita yang merupakan anak kepada bekas pekerja ladang itu, Shanti Rengasamy, 48, mendakwa emaknya Chelli Ramasamy, 80 lahir dan bekerja di ladang berkenaan dan kini bergelut untuk mendapatkan hak tanah dan rumah teres yang dijanjikan kerajaan.

“Saya terkejut selepas didatangi pegawai tanah menyerahkan notis merah pengusiran kami meminta mengosongkan tanah sebelum 14 Mei ini.

“Kami sedih dan mahu kerajaan pusat segera campur tangan dan membela nasib serta menunaikan tuntutan kami sebagai bekas pekerja ladang,” kata beliau yang mana keluarganya telah menetap selama 65 tahun di situ.

Manakala peniaga gerai makanan, Rohani Ihsan, 46, pula membidas tindakan Pejabat Tanah dan Galian yang datang menyerahkan notis merah pada hari kedua Ramadan yang menyusahkan 41 keluarga pekerja ladang tersebut.

MGF08052019_PC BEKAS PEKERJA LADANG_20
Penduduk, Rohani Ihsan, 46 bercakap kepada media selepas mendapat notis pengusiran di Ladang Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 MEI 2019

Katanya, menjelang tengahari penduduk kawasan itu didatangi lima orang penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk  menyerahkan notis merah meminta mereka mengosongkan tanah yang diduduki sejak turun temurun.

“Ini ladang kelahiran suami saya yang kini berusia 57 tahun dan bapa serta emak mentua saya juga bekas pekerja ladang ini secara bergenerasi dengan jiran kami berbangsa India yang lain.

“Dia beri notis ini pun salah dan tidak mematuhi undang-undang, mereka gagal memahami bahawa kami bukan penceroboh atau setinggan tetapi bekas pekerja ladang, klausa itu pun salah.

“Takkan tak faham ini bulan Ramadan. Apabila ditanya kenapa bertindak demikian, pegawai berkenaan membalas mereka hanya menjalankan tugas yang diamanahkan dan minta kami urus pihak atasan mereka.

“Tapi selagi hak tuntutan empat ekar tanah dan rumah teras kami tidak ditunaikan, kami tidak akan berganjak satu incipun dari tanah ini,” katanya yang mempunyai tiga orang anak kepada MalaysiaGazette.

V. Saraswathy, 57 yang lahir dan membesar serta bekerja di ladang tersebut ternyata kecewa dengan notis merah yang mengarahkan mereka mengosongkan kediaman sebelum 14 Mei ini.

MGF08052019_PC BEKAS PEKERJA LADANG_18
Penduduk, V. Saraswathy, 57 bercakap kepada media selepas mendapat notis pengusiran di Ladang Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 MEI 2019

“Kami tak tanya wang atau imbuhan besar, cuma tunaikan janji empat ekar tanah dan rumah teres untuk keluarga kami yang bertitik peluh dan tumpahkan darah untuk menyuburkan pertanian dan pembangunan negara secara bergenerasi selama ini.

“Kami perlu bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sementara pihak menteri, Khalid Samad segera bertindak dalam hal ini,” katanya semasa berkumpul menyatakan bantahan mereka bersama aktivis masyarakat, Arutchelvan pagi tadi. – MalaysiaGazette