Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad bercakap kepada media pada Majlis Perhimpunan YB Menteri Wilayah Persekutuan Bersama Warga Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) di Pejabat KWP, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 08 MEI 2019

PUTRAJAYA – Laluan pejalan kaki di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di ibu negara akan dibuka kembali kepada pengguna selama dua bulan bermula Sabtu ini.

Langkah itu bagi memberi laluan kepada pengunjung untuk membeli-belah di kawasan berkenaan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak.

“Kita memutuskan untuk membuka kembali laluan itu yang sebelum ini dijadikan kawasan pejalan kaki pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum.

“Saya mengadakan perbincangan dengan Persatuan Penjual Batu Road (BARRA) serta Persatuan Peniaga Masjid India dan mereka memberi maklum balas positif.

“Namun mereka mengatakan untuk bulan Ramadan mereka menjangka jualan akan meningkat dan atas sebab itu memohon supaya jalan berkenaan dibuka pada hari minggu bagi memudahkan orang ramai membeli-belah.

“Pembeli yang dianggarkan ramai pada hari berkenaan akan dapat membeli-belah seperti sedia kala, dan tempoh itu juga untuk membolehkan kita menangani masalah peniaga yang berada di Lorong Gombak dan Lorong Tuanku Abdul Rahman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Menteri Wilayah Persekutuan dan berbuka puasa bersama warga kementeriannya, di sini hari ini.

Pada Mac lalu, Khalid dilapor berkata, kerajaan merancang menjadikan Jalan TAR sebagai kawasan pejalan kaki yang akan dilaksanakan secara percubaan pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Sementara itu ketika mengulas mengenai rungutan peniaga di bazar Ramadan di Jalan Raja, Khalid berkata, kekurangan pengunjung dan peniaga di tapak baharu itu pada masa ini merupakan perkara biasa di awal Ramadan.

Katanya, beliau yakin bazar itu akan mula dipenuhi pengunjung pada minggu kedua Ramadan dan seterusnya.

“Di bazar berkenaan kita hanya menjual barangan kering seperti pakaian dan baju raya bukannya juadah untuk berbuka puasa.

“Atas sebab itu dalam tempoh ini ia kurang meriah kerana orang akan mula membeli keperluan raya pada minggu kedua puasa,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, mengenai projek Taman Tugu pula, Khalid memberitahu, Kabinet memutuskan untuk menyerahkan tanah seluas 26.7 hektar itu kepada Amanah Warisan Negara.

Jelasnya, tanah yang dianggarkan bernilai RM1.87 bilion itu akan dikekalkan sebagai kawasan hutan tropika dan statusnya itu tidak akan berubah.

“Pemberian tanah itu dengan syarat yang nyata iaitu tidak boleh dilakukan apa-apa, dicagarkan dan ia akan diwartakan sebagai kawasan hutan tropika,” tambah beliau. – MalaysiaGazette