Pasukan Barcelona berlepas ke Lapangan Terbang tanpa Messi ketika menjalani ujian doping di Anfield selepas kalah 4-0 aksi kedua separuh akhir liga juara juara Eropah awal pagi tadi.

LIVERPOOL – Bas pasukan pemain Barcelona meninggalkan Anfield tanpa Lionel Messi selepas kekalahan pada aksi Separuh akhir kedua Liga Juara Juara Eropah awal pagi tadi.

Messi melalui malam ngeri dalam kariernya selepas pasukannya tewas 0-4 kepada Liverpool bagi membolehkan pasukan tuan rumah mara ke final dengan agregat 4-3.

Kemenangan Liverpool disifatkan kebangkitan luar biasa sebuah kelab Inggeris di pentas Eropah setakat ini.

Ini merupakan final kedua berturut-turut Liverpool selepas kecundang di tangan Real Madrid musim lalu.

Selepas perlawanan awal pagi tadi, Messi terlibat dengan ujian doping sejurus selepas tamat perlawanan.

Proses agak lama itu menyebabkan bas pasukan the Catalans meninggalkan pemain itu dan berlepas ke lapangan terbang ketika Messi masih lagi berada di Anfield.

Messi telah menyediakan sampel ujian air kencing sementara persiapan khas dibuat untuk membawa bintang Argentina itu ke lapangan terbang sebelum skuadnya berangkat ke Sepanyol.

Messi berjalan di laluan zon utama di Anfield selepas rakan sepasukannya telah meninggalkan stadium tetapi tidak bercakap kepada media. – MalaysiaGazette