Mohd Amar Abdullah
Mohd Amar Abdullah

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Kelantan mengambil kira pandangan pelbagai pihak terhadap arahan penutupan sementara restoran semasa solat tarawih.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, isu itu tidak perlu disensasikan memandangkan sehingga kini Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) belum memberikan arahan rasmi kepada peniaga untuk menutup restoran.

Justeru sehingga kini peniaga makanan boleh beroperasi pada waktu itu.

“Arahan itu dikeluarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kepada pihak pengurusan PBT dan belum sampai ke peringkat bawahan.

“Belum ada arahan lagi kepada peniaga, PBT pun tak keluarkan apa-apa arahan lagi kepada peniaga, melainkan setelah menerima arahan PBT, barulah peniaga kena ikut.

“Perkara itu perlu dilihat secara positif. Kita menghormati pandangan yang diberikan orang ramai, tetapi pada masa yang sama kita perlu melihat perkara itu secara positif,” katanya.

Beliau berkata demikian diminta mengulas arahan penutupan sementara kedai makan antara jam 8.30 hingga 10.00 malam yang dikeluarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Isnin lepas.

Bagaimanapun, Mohd Amar tidak menafikan ia merupakan cadangan baik untuk menggalakkan orang ramai menunaikan solat sunat tarawih berjemaah di masjid. – MalaysiaGazette