KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mendedahkan teks Rang Undang-Undang (RUU) Benih kepada umum dan berunding terlebih dahulu dengan organisasi petani sebelum membentangkannya di Parlimen.
Koordinator Forum Keselamatan dan Kedaulatan Makanan Malaysia, Nurfitri Amir Muhammad menegaskan, sebarang undang-undang yang ingin diperkenalkan mestilah bermatlamatkan kesejahteraan untuk petani dan wakil petani berhak mengetahuinya.
“Akta ini mesti mengambil kira kedaulatan makanan negara tanpa mengorbankan hak dan kebebasan petani terhadap benih dan sistem pertanian tradisi.
“Untuk memastikan perkara ini terlaksana, pihak petani mesti terlibat secara langsung dalam proses dalam proses membuat keputusan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur dan Selangor Chinese Assembly Hall hari ini.
Pada 8 April lalu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Tani, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan mengumumkan satu rang undang-undang benih sedang digubal untuk mengawal dan menangani pengedaran benih haram dalam pasaran dan ia akan dibentangkan di Parlimen selepas perundingan dengan agensi-agensi lain.
Pada 7 Mei 2019, sebanyak 62 komuniti dan organisasi masyarakat, koperasi dan institusi-institusi penyelidikan telah menghantar memorandum keprihatinan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyatakan keprihatinan undang-undang pensijilan benih boleh mempunyai kesan negatif apabila terdapat ‘pengawalan kualiti’ terhadap petani kecilan dan kepelbagaian benih tanaman di negara ini.
Nurfitri Amir berkata, walaupun pihaknya menyokong langkah kerajaan untuk memastikan benih berkualiti dan bebas daripada penyakit dibekalkan namun kajian tentang undang-undang persijilan benih di negara lain menimbulkan beberapa kebimbangan.
“Undang-undang benih melarang amalan penyimpanan, pertukaran dan penjualan benih tanaman oleh petani. Ini meliputi tanaman asas seperti padi, sayur-sayuran dan buah-buahan.
“Penjimatan, pertukaran dan penjualan benih adalah suatu amalan yang biasa bagi petani di Malaysia sejak sekian lama dan pengharamannya merupakan satu penafian hak kepada petani,” katanya.
Menurutnya, tindakan kerajaan mengenakan denda dan memperlakukan petani sebagai penjenayah boleh mencetuskan protes dan bantahan seperti yang dilihat di Indonesia pada 2004 hingga 2010) dan Colombia (2013).
“Undang-Undang Benih mewajibkan petani, penanam benih dan pengeluar benih menjalankan kajian makmal, memohon untuk persijilan dan pendaftaran benih selaras dengan pra-syarat tertentu.
“Pendaftaran tahunan juga diperlukan. Ini akan mengakibatkan peningkatan harga benih,” katanya.
Dakwanya, akta itu juga akan menggalakkan amalan monokultur dalam pertanian di mana kepelbagaian yang diperkenalkan di pasaran akan berkurangan secara berperingkat.
“Ia akan mendiskriminasi kepelbagaian petani dan sistem benih petani sekaligus memusnahkan kepelbagaian biologi secara umum seterusnya penurunan pengeluaran makanan setempat.
“Ini kerana risiko rumpai, perosak dan penyakit baharu adalah lebih tinggi terhadap tanaman monokultur,” katanya.
Katanya lagi, pilihan benih yang terhad di pasaran menyebabkan petani terpaksa mengikuti setiap syarat yang telah ditentukan syarikat-syarikat benih besar termasuk syarikat negara luar.
“Benih yang mendapat persijilan dari negara luar tidak tentu akan sesuai untuk keadaan tempatan. Ini akan meningkatkan kebergantungan sistem jaminan bekalan makanan negara kepada negara luar yang banyak mengeluarkan benih-benih baru,” katanya.
Lebih membimbangkan, katanya, akta itu bercanggah dengan perjanjian dan konvensyen antarabangsa yang melindungi hak-hak petani dan biodiversiti tanaman yang telah disertai Malaysia. – MalaysiaGazette