AMSTERDAM – Totteham Hotspur mengikut jejak Liverpool apabila melakukan kebangkitan sensasi dalam separuh akhir Liga Juara-Juara pagi tadi.

Magis berlaku Tottenham mempamer aksi luar biasa apabila bangkit daripada ketinggalan 0-3 secara agregat sebelum menyingkirkan Ajax di gelanggan lawan.

Hatrik Lucas Moura termasuk gol dramatik pada waktu kecederaan melengkapkan kebangkitan sensasi Spurs dan membawa mereka mara ke final kejohanan kelab elit Eropah itu buat kali pertama.

Selepas tewas 0-1 pada separuh akhir pertama di laman sendiri minggu lalu, Tottenham ibarat ditunjukkan jalan keluar apabila ketinggalan 0-2 di Amsterdam iaitu 0-3 secara agregat hanya 35 minit selepas permainan berlangsung.

Begitupun, tiga gol yang disempurnakan Moura pada babak kedua termasuk dua jaringan pantas dalam tempoh empat minit memastikan kelab London itu menang 3-2.

Anak-anak buah Mauricio Pochettino layak layak ke final menerusi peraturan gol tempat lawan selepas saingan terikat secara agregat 3-3.

Kemenangan itu menemukan Spurs dengan musuh senegara, Liverpool yang terdahulu melakar kebangkitan luar biasa membelasah Barcelona 4-0 dalam satu lagi separuh akhir, semalam.

Ini kali pertama dua kelab England menguasai pentas akhir Liga Juara-Juara sejak Manchester United bertemu Chelsea pada 2008.

Bagaimanapun Tottenhamterpaksa berdepan detik amat mencemaskan apabila Matthijs de Ligt meledak gol pembukaan Ajax seawal minit kelima sebelum Hakim Ziyech menggandakan kedudukan, 30 minit berselang. – MalaysiaGazette