KUALA LUMPUR – Penyerang import Nigeria, Ifedayo Olusegun enggan dirinya dilabel sebagai pengganti penjaring terbanyak 2018 Rufino Segovia yang kini mengalami kecederaan.
Sebaliknya, dia ingin hadir dalam skuad Selangor sebagai seorang pemain yang berbeza bagi membantu pasukan mengharungi baki musim 2019.
Sejak ketiadaan Segovia yang kini mesih berehat panjang, kem Red Giants masih tempang di bahagian serangan dan kini menjadi tugas utama Olusegun memperkuatkan pasukan dengan penyudah yang lebih berkesan.
Pastinya, ia bukan tanggungjawab mudah untuk menerajui serangan namun itu tidak menjadi satu tekanan kepada Olusegun untuk memastikan harapan pengendali, B. Satianathan kepadanya tidak sia-sia.
Jelas bekas penyerang Melaka itu, dia mahu mencipta sejarah tersendiri bersama Selangor dengan meledak jaringan sepertimana lapan gol yang pernah dijaringkan ketika bersama Melaka.
“Saya hadir dalam pasukan Selangor sebagai seorang pemain yang baharu dan tidak mahu dianggap menggantikan sesiapa termasuklah Segovia.
“Segovia dan saya dua pemain berbeza dan saya hanya ingin fokus kepada pasukan ini dengan cara saya tersendiri untuk bantu rakan sepasukan raih kejayaan pada musim ini.
“Bermain bola sepak tidak boleh terlalu merasai tekanan di mana saya sendiri tidak mahu terbeban menggalas tugas sebagai penyerang sebaliknya mahu menikmati seberapa banyak perlawanan sebaik mungkin”, katanya.
Olusegun, bekas pemain Felda United dan Melaka disambar oleh Selangor sebaik sahaja jendela perpindahan kedua pemain dibuka pada 2 Mei lalu dengan kontrak sehingga penghujung musim ini.
Satianathan pernah bekerjasama dengan Olusegun sebelum ini ketika di Felda United pada 2017 sebelum beraksi dengan Melaka pada jendela pintu perpindahan kedua, musim lalu.
Jelas Satianathan, penyerang berusia 28 tahun itu memiliki ciri-ciri yang diinginkannya sebagai penyelamat kepada ketumpulan penyudah pasukan sejak ketiadaan Segovia.
Aksi pertamanya bersama Selangor adalah pertembungan dengan Kedah pada Rabu depan dengan harapan dia mampu membantu pasukan kembali ke tangga ketiga Liga Super.
“Tiada yang mustahil untuk kami merampas kembali kedudukan ketiga daripada Kedah apabila kini perbezaan hanyalah satu mata dan saya percaya dengan semangat luar biasa pemain-pemain kali ini.
“Dengan adanya Olusegun, sekurang-kurangnya pasukan kini memiliki kekuatan tambahan daripada aspek serangan tetapi saya sebagai jurulatih tidak boleh terlalu beri tekanan kepadanya dan dia sendiri perlu tahu tugas yang dipikul untuk bantu pasukan”, katanya. – MalaysiaGazette