Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kekal mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan pernah menerima rasuah RM5 juta dalam projek sistem solar Sarawak hari ini.

Rosmah, 68, membuat pengakuan itu dihadapan Hakim Azura Alwi ketika pindaan kes tersebut ketika membacakan pertuduhan baharu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar terdahulu memberitahu mahkamah bahawa pertuduhan pindaan dibuat berikutan pendakwaan membuat pindaan pada alamat tempat kejadian.

Mengikut fakta kes itu, Rosmah telah didakwa menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Ini merupakan dorongan upah untuk membantu Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini, pada 20 Disember 2016 melalui bekas pembantunya, Rizal Mansor.

Dusuki kemudian, memaklumkan kepada mahkamah bahawa permohonan untuk memindahkan kes itu sudah dibuat di Mahkamah Tinggi.

“Mahkamah Tinggi menetapkan 28 Mei ini untuk pengurusan kes bagi meneruskan proses berikutnya. Pada 28 Mei mahkamah akan tetapkan tarikh untuk pendengaran permohonan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi,” ujarnya.

Azura kemudian menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi mengetahui maklumat terkini berhubung kes terbabit.

Jika sabit kesalahan, Rosmah berdepan dengan hukuman penjara maksimym 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. –MalaysiaGazette