Tujuh kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung urusan cukai jalan yang dipercayai melibatkan ketirisan mencecah RM3.1 juta, dua tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Siasatan mengenai projek Land Swap di bawah Kementerian Pertahanan mendapati unsur-unsur kelemahan dan kecuaian dari segi tadbir urus, selain penglibatan anggota pentadbiran iaitu bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Pertahanan dalam 13 daripada 16 projek Land Swap.

Menurut Laporan Akhir Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang membuat siasatan dari Julai hingga Disember 2018, kelemahan itu termasuk dalam perancangan dan perolehan telah menyebabkan tujuan asal projek untuk meningkatkan kesiapsiagaan ketenteraan negara tidak tercapai sepenuhnya.

Ini turut memberi kesan pada moral anggota tentera kerana ia berkait rapat dengan tempat mereka bertugas dan kediaman yang lebih selesa.

“Projek itu juga telah menyebabkan nilai kerugian sebenar termasuk tuntutan mahkamah bagi projek yang gagal iaitu Pembangunan Markas 7 Bridged Skudai di Lot 2967, 2763 dan 2764 Mukim Pulai, Johor sebanyak RM1.48 bilion.

“Ini melibatkan tuntutan ke atas bon tanah, bon pelaksanaan, beza nilai tanah dengan bon tanah, kos selenggara bangunan dan RKAT (Rumah Keluarga Angkatan Tentera) serta kos bina kem baharu,” menurut laporan itu.

“Berdasarkan semakan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) juga mengesahkan beberapa kem tentera termasuk Kem Bera, Kem Segamat, Kem Paloh (Land Swap Kinrara) dan Kem Hutan Melintang dibina bagi tujuan dan kepentingan politik, yakni pemindahan pengundi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Kehadiran pihak SPR dalam lawatan tapak ke Kem Bera, Kem Segamat dan Kem Hutan Melintang menunjukkan bahawa pembinaan kem itu adalah berunsur kepentingan politik anggota pentadbiran khususnya strategi untuk memenangi Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) bagi kawasan yang terlibat dan bukannya strategik ketenteraan,” menurut laporan itu.

Jelas laporan itu lagi, memo daripada Setiausaha Politik Kementerian Pertahanan ketika itu juga jelas menyatakan keutamaan perlu diberikan kepada pembinaan Kem Paloh bagi tujuan kepentingan politik di Parlimen Sembrong sehingga menyebabkan surat arahan dikeluarkan kepada syarikat untuk membeli tanah dan memulakan pembinaan tanpa sebarang kontrak ditandatangani terlebih dahulu.

Selain itu, perancangan projek itu juga didapati lemah apabila hanya dua daripada 16 projek itu iaitu Pusat Pengajian Pertahanan Nasional dan Fasiliti Skuadron 323 TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) Bukit Banang, Johor yang dikenalpasti terkandung dalam Pelan Pembangunan Kementerian Pertahanan, manakala 14 projek lagi bukan keutamaan bagi kementerian itu.

Justeru, jawatankuasa itu mengesyorkan beberapa tindakan yang perlu dilakukan bagi memastikan kepentingan kerajaan terus terpelihara terutama yang melibatkan perolehan dan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang melibatkan peruntukan yang tinggi.

Antara syor yang dicadangkan ialah rundingan semula bagi projek Land Swap demi kepentingan kerajaan, tidak meneruskan projek Land Swap/Tiada kontrak tambahan, melaksana Land Swap secara tender terbuka, kaveat pendaftar ke atas tanah balasan projek yang belum siap sepenuhnya, dan perlunya perancangan projek yang komprehensif.

Laporan itu turut mengesyorkan ‘due diligence’ yang lebih mendalam untuk menilai keupayaan syarikat yang terlibat dalam projek itu supaya mempunyai kemampuan daripada semua aspek terutama dari segi kewangan dan teknikal.

Ia turut mencadangkan siasatan dan tindakan lanjut diambil ke atas pegawai yang didapati melanggar peraturan dan menjejaskan kepentingan kerajaan termasuk tindakan tatatertib ke atas pegawai yang didapati cuai serta melanggar peraturan dan SOP yang ditetapkan.

“Laporan turut akan dikemukakan kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya didapati wujudnya elemen jenayah dan rasuah,” menurut laporan itu.

Ia turut mengesyorkan agar tindakan tegas diambil ke atas pegawai yang didapati cuai dalam melaksanakan tugas sehingga menyebabkan kerugian ke atas kerajaan namun pada masa yang sama, penambahbaikan berdasarkan syor di atas hendaklah dilaksanakan agar kepentingan kerajaan terjamin. – MalaysiaGazette