SPR

KUALA LUMPUR – Seramai 39,684 pengundi biasa yang layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan hari ini.

Sebanyak 19 pusat mengundi melibatkan 90 saluran dibuka pada 7.30 pagi ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 798 petugas ditempatkan di semua pusat pengundian malah menyasarkan 70 peratus pengundi di kawasan Parlimen itu akan keluar mengundi.

Sebanyak 75 peratus pengundi awal direkodkan keluar mengundi pada 7 Mei lepas yang terdiri daripada 270 pengundi antaranya pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Komposisi pengundi Sandakan terdiri daripada 51 peratus pengundi Cina dan 45 peratus pengundi bumiputera Islam, manakala selebihnya kaum lain.

Ini PRK kelapan diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei tahun lepas.

Pertama, PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan), DUN Semenyih (2 Mac) dan DUN Rantau (13 April).

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Vivian Wong Shir Yee, calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Hamzah Abdullah; ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

Ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

Pusat penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua. -MalaysiaGazette