SANDAKAN – Seramai 136 anggota polis ditempatkan di 19 Pusat Mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan yang bermula 7.30 pagi tadi hingga 5 petang.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Mohd Azhar Hamin berkata, anggota polis berkenaan melakukan kawalan keselamatan di 90 saluran mengundi dan dalam kawasan 20 meter pusat mengundi.

Katanya, secara keseluruhannya polis sudah siap sedia menghadapi PRK Sandakan ini.

Segala sumber manusia membabitkan pegawai dan anggota polis digunakan untuk memastikan perjalanan PRK Sandakan berjalan dengan lancar dan selamat, katanya di sini, hari ini.

Mengenai kempen PRK Sandakan yang berakhir 12 tengah malam, semalam, beliau berkata secara keseluruhannya penyokong parti menjalankan kempen secara aman dan harmoni.

Mohd Azhar, menasihatkan pengundi keluar mengundi untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Menurutnya, pengundi dinasihatkan keluar awal untuk mengundi dan dan tidak melakukan provokasi serta tidak melakukan kempen semasa mengundi.

Mohd Azhar berharap perjalanan PRK Sandakan berlangsung dalam suasana harmoni dan selamat.

Proses mengundi yang berlangsung selama sembilan jam setengah itu melibatkan seramai 39,684 pengundi biasa yang layak mengundi sebelum proses pengundian ditutup pada 5 petang ini.

Pada 7 Mei lepas, 75 peratus daripada 270 pengundi awal terdiri daripada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Pemilih berdaftar di Parlimen Sandakan terdiri daripada 51 peratus pengundi Cina dan 45 peratus pengundi bumiputera Islam, manakala selebihnya kaum lain.

Sebanyak 49.48 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi adalah lelaki, manakala pengundi wanita merangkumi 50.52 peratus. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast