Gambar hiasan

 Kira-kira 98 peratus kawasan yang terjejas di Klang, akibat kejadian paip utama yang pecah berhampiran Lebuhraya West-Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping Sabtu lepas, telah pulih sepenuhnya setakat pukul 6.00 pagi ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, berdasarkan pemantauan hanya beberapa premis di kawasan tinggi dan di penghujung sistem agihan, masih mengalami gangguan bekalan air.

Beliau berkata, kawasan yang masih mengalami gangguan bekalan air itu ialah Bandar Putera, Parkland, Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Utara, Jalan Pelabuhan Utara dan Taman Sentosa.

“Pihak kami sentiasa memberi tumpuan bagi menstabilkan dan memulihkan bekalan ke kawasan berkenaan serta meminta kerjasama pengguna terjejas untuk merujuk makluman rasmi.

“Sebarang makluman hebahan yang mendakwa berlakunya lagi gangguan bekalan air adalah tidak benar dan kami sedang berusaha sebaik mungkin bagi mempercepatkan pemulihan dan menstabilkan bekalan air ke semua kawasan yang terjejas seperti disasarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Raof juga meminta orang ramai tidak membuat simpanan bekalan melebihi penggunaan susulan ia akan menjejaskan proses pemulihan.

Katanya, pengguna yang mahu mendapatkan maklumat dan status terkini situasi gangguan air boleh layari laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook “Air Selangor” dan Twitter @air_selangor.

Insiden tiga paip utama pecah di tapak projek WCE sejak Sabtu lepas menjejaskan hampir 800,000 pengguna di 65 kawasan di Klang. – MalaysiaGazette