PASIR MAS – Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan mempertimbangkan supaya pemberian bonus raya kepada penjawat awam dan pesara kali ini diberikan sebelum sambutan Aidilfitri.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan menghantar surat kepada Perdana Menteri serta Menteri Kewangan agar pemberian bantuan khas itu menjadi kenyataan.
Beliau berkata pihaknya memohon agar setiap penjawat awam diberikan bonus RM1,000, manakala bagi pesara RM500, dan menurutnya bantuan khas itu dijangka membabitkan jumlah lebih RM1bilion.
“Sebelum ini hanya mereka yang Gred 41 ke bawah sahaja yang layak dan kali ini kita tidak mahu ada sekatan, semua Gred 54 ke bawah (seharusnya) layak menerimanya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Imigresen Kelantan dan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Seluruh Malaysia (KPISM) di sini, malam tadi.
Hadir sama pada majlis berkenaan adalah presiden KPISM, Mohd Fauzi Jamaluddin serta Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Azhar Abd Hamid.
Dalam perkembangan lain Azih berkata, berdasarkan aduan yang diterima, beliau mendapati fasiliti di pintu masuk utama negara di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) di Rantau Panjang sudah agak ketinggalan dan perlu pembaharuan.
“Di sini (ICQS) ada 13 agensi dengan jumlah keanggotaan adalah 213 orang dan kita dapati dengan keadaan sekarang di mana jumlah trafik yang keluar masuk semakin banyak memberikan ketidakselesaan kepada anggota yang bertugas di sini.
“Dahulunya keadaan begini mungkin sesuai, namun dengan peredaran masa kita rasakan ia perlu penambahbaikan agar anggota yang bertugas di situ lebih selesa. Di sini kita mahu supaya kerajaan melihat semula soal kebajikan dan keperluan anggota supaya dapat menjalankan tugasan dengan lebih kondusif,” katanya.
Jelasnya, kerajaan perlu melihat anggota yang bertugas ini sebagai “orang penting” kepada negara kerana anggota beruniform bukan sahaja menjaga keselamatan kita tetapi bertanggungjawab memberi keselesaan kepada rakyat.
“Dalam soal ini kita memohon agar gaji kakitangan beruniform perlu lebih tinggi daripada gaji kumpulan yang lain. Kita tahu wujud kekangan di segi kewangan kepada kerajaan namun kita tetap memohon agar ia dipertimbangkan,” katanya. -Bernama