KANGAR – Kerajaan Malaysia akan terus bekerjasama dengan kerajaan Indonesia mempertahankan minyak kelapa sawit yang cuba disabotaj oleh pelobi-pelobi di Eropah, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking.

Katanya, kerjasama itu mula terlihat apabila kedua-dua pihak mengeluarkan kenyataan dan mengambil tindakan atau inisiatif secara bersama dalam menghadapi sekatan oleh komuniti Eropah.

“Cuma Perancis yang menyekat penggunaan minyak sawit, itupun tidak sepenuhnya manakala Belanda antara pengimport terbesar bahan itu dalam kalangan negara Eropah.

Kita tidak akan menyerang balik negara yang menghalang pengeksportan minyak sawit apatah lagi memburukkan mereka,” kata Darell pada sidang media selepas mesyuarat dengan agensi-agensi di bawah MITI di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang menghadiri mesyuarat itu turut hadir pada sidang media itu.

Menurut Darell, isu Orang Utan dan penebangan balak yang digunakan oleh para pelobi untuk memburukkan tanaman sawit sudah ditangani oleh kerajaan dengan berkesan namun komuniti Eropah masih terkeliru.

“Kita sedar sebarang sekatan yang dikenakan terhadap minyak sawit tetap memberi kesan negatif dan sebab itu perlu bekerjasama dengan Indonesia. Sebarang tindakan balas oleh Indonesia boleh memberi kesan terhadap negara-negara yang memboikot minyak sawit.

Di samping isu bio diesel, kelapa sawit adalah tanaman yang berdaya maju dan sangat baik,” katanya dan menambah Malaysia akan hanya menjelaskan kebaikan minyak sawit dan tidak akan sekali-kali memburukkan produk negara lain.

Beliau berkata, India dan negara di Afrika kini dilihat mempunyai potensi besar sebagai pembeli minyak sawit Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast