Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan surat watikah pelantikan Datuk Mazlan Mansor di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara bagi mengisi kekosongan berikutan persaraan wajib Tan Sri Noor Rashid Ibrahim pada 17 Mac lalu.

Pelantikan Mazlan Mansor berkuatkuasa 9 Mei lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan surat watikah pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara kepada Mazlan pada majlis ringkas yang diadakan di Kementerian Dalam Negeri (KDN) pagi tadi.

Katanya, pelantikan Mazlan Mansor untuk jawatan nombor dua tertinggi PDRM itu telah diperkenan oleh Yang Di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad seperti yang termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

Hadir pada majlis Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador serta Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Satu majlis serah terima tugas melibatkan Mansor dijangkakan pada minggu ini mengikut istiadat rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak.

Mazlan berusia 58 tahun berasal dari Bukit Mertajam Pulau Pinang dan pernah menyandang jawatan Ketua Polis Melaka, Pesuruhjaya Polis Sarawak dan Ketua Polis Selangor.

Muhyiddin yang bercakap kemudian kepada pemberita dalam sidang media majlis itu menyatakan harapan, pelantikan Mazlan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara dapat mengeratkan lagi kerjasama antara PDRM dan KDN dalam memartabatkan imej dan integriti PDRM ke tahap lebih tinggi disebalik cabaran yang mendatang di masa hadapan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast