Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Rafizi Ramli berikrar tidak akan mengambil satu sen pun daripada jumlah yang dianugerahkan oleh mahkamah berhubung kes National Feedlot Corp. (NFC).

Selain kos peguam, beliau mahu wang yang akan diterimanya  dijadikan hadiah pendidikan kepada pelajar cemerlang universiti dan Tingkatan 5 dari keluarga berpendapatan rendah.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat itu berkata, penerima hadiah pendidikan akan dipilih dari kalangan seluruh rakyat Malaysia berbilang bangsa yang cemerlang dalam bidang masing-masing walaupun datang dari keluarga berpendapatan rendah.

Pelajar universiti akan menerima RM5,000 seorang dan Tingkatan 5 sebanyak RM500. Penerima hadiah itu adalah dalam kalangan berbilang bangsa.

Jelasnya, Jumlah RM300,000 yang dibayar kepada Datuk Seri Salleh Ismail adalah hasil sumbangan orang ramai dalam bulan Julai 2017.

“Sebarang jumlah yang diarahkan dibayar kepada saya oleh mahkamah, akan dikembalikan.

“Jumlah yang diarahkan sebagai kos guaman akan dibayar kepada peguam-peguam saya iaitu Ranjit Singh (Tetuan Ranjit Singh & Yeoh), Razlan Hadri Zulkifli (Tetuan Gan, Ho & Razlan Hadri), Ng Siau Sun dan Michele Navinder Kaur (Tetuan Sun & Michele). Mereka telah mengendalikan semua kes-kes mahkamah saya berhubung skandal NFC (sebanyak 3 kes) secara percuma (pro bono) sejak 2012,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak jemu membantunya dalam kes itu walaupun memakan masa yang panjang sejak tahun 2011 lagi.

“Walaupun proses mendapatkan kembali dana RM250 juta nampaknya lebih panjang dari sepatutnya, saya berharap tindakan memulangkan jumlah yang perlu dibayar oleh plaintif dalam bentuk hadiah pendidikan, sebagai satu langkah awal ke arah mendapatkan kembali kesemua RM250 juta wang rakyat itu,” ujarnya.

Bernama melaporkan Rafizi menang dalam rayuannya untuk mengetepikan satu perintah Mahkamah Tinggi terhadapnya yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM200,000 kepada Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dan syarikatnya kerana memfitnah.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Hamid Sultan Abu Backer, Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Wira Kamaludin Md Said membenarkan rayuan Mohd Rafizi.

Hakim Hamid Sultan.berkata, mereka sebulat suara bersetuju bahawa rayuan Rafizi mempunyai merit dan rayuan ini dibenarkan dengan kos.

Beliau mengarahkan Dr Mohamad Salleh untuk memulangkan sejumlah RM300,000, termasuk RM200,000 sebagai ganti rugi dan RM100,000 sebagai kos yang telah dibayar oleh Mohd Rafizi kepadanya.

Dr Mohamad Salleh juga diarah mengembalikan wang RM300,000 itu dalam tempoh 30 hari, yang jika gagal akan dikenakan kadar faedah lima peratus setahun sehingga bayaran itu lunas, selain membayar RM10,000 sebagai kos prosiding Mahkamah Rayuan dan RM100,000 kos prosiding di Mahkamah Tinggi.

Pada 2013, Dr Mohamad Salleh dan NFCorp menyaman Rafizi dengan mendakwa beliau telah membuat pernyataan fitnah pada 7 Mac, 2012 pada sidang media di pejabat PKR mengenai pembelian hartanah KL Eco City yang disiarkan oleh Malaysiakini pada hari yang sama.

Pada 31 Okt 31, 2016, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memerintahkan Rafizi membayar RM150,000 sebagai ganti rugi kepada Dr Mohamad Salleh dan RM50,000 sebagai ganti rugi kepada NFCorp selepas membenarkan saman beliau terhadap Rafizi.

Rafizi juga diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi supaya membayar kos RM100,000 kepada Dr Mohamad Salleh. – MalaysiaGazette