MELAKA – Mahkamah Pilihan Raya di sini menetapkan keputusan untuk Petisyen Pilihan Raya Parlimen Jasin dijadual pada 12 Jun ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam Muniandy Vestanathan, yang mewakili calon Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 bagi kerusi itu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, perbicaraan bagi petisyen itu di Mahkamah Pilihan Raya di sini, tamat semalam.

“Seramai 44 saksi dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan. Sekarang hanya tunggu untuk penyerahan dan keputusan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pada 6 Mac lepas Mahkamah Pilihan Raya di sini menolak bantahan awal Anggota Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan Khairuddin selaku pempetisyen, sehubungan itu mahkamah menetapkan perbicaraan penuh bermula pada 11 Mac lepas.

Khairuddin dalam petisyennya menamakan Ahmad sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya kerusi Parlimen Jasin, Zamrud Yahya responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya responden ketiga. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast