polis
Antara barang-barang milik Geng Jibam Makam yang dirampas polis semasa serbuan di sebuah bengkel kereta di Kampung Makam, Kota Tinggi, kelmarin.

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket curi kenderaan dikenali sebagai Geng Jibam Makam dalam satu serbuan di sebuah bengkel kereta di Kampung Makam, Kota Tinggi, kelmarin.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, serbuan oleh pihaknya pada pukul 11 malam berjaya menahan lima lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 23 hingga 53 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan polis menemui tiga buah kereta yang disyaki dicuri, selaras senjata api jenis pump gun bersama lima butir peluru .38 milimeter (mm) dan empat butir peluru penabur.

“Turut dijumpai dalam serbuan terbabit ialah dua peket plastik lutsinar yang mengandungi dadah jenis heroin seberat 72.7 gram (g) dan syabu seberat 3.3 gram,” katanya.

Ahsmon berkata, hasil daripada ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas mereka juga mendapati empat daripada suspek positif dadah.

Tambah beliau, kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette