KUALA LUMPUR – Ringgit ditutup rendah berbanding dolar US hari ini berikutan sentimen berhati-hati menjelang pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada Khamis, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.1690/1720 berbanding dolar US daripada paras 4.1620/1670 sewaktu ditutup pada Isnin.

Seorang peniaga berkata, sentimen pasaran itu diheret turun oleh jangkaan data ekonomi suku pertama tahun ini yang lebih lemah.

Menurutnya, ringgit juga gagal menjejaki prestasi mata wang Asia yang mengukuh selepas komen mengenai Amerika Syarikat dan China terbukti mengurangkan kegelisahan pelabur mengenai perang tarif antara dua negara kuasa besar ekonomi dunia itu.

“Sentimen pasaran sedang pesat membangun itu meningkat selepas kenyataan Presiden Donald Trump yang menjangkakan rundingan dagangan antara Beijing dan Washington akan mencatat kejayaan manakala diplomat kanan China pula menyifatkan kedua-dua negara itu menunjukkan keazaman untuk mencapai satu perjanjian,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lainnya.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0466/0499 daripada 3.0435/0483 pada Isnin dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.8018/8048 daripada 3.7943/7996.

Mata wang tempatan itu bagaimanapun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3955/4011 daripada 5.4189/4263 namun susut berbanding euro kepada 4.6843/6885 daripada 4.6768/6837, semalam. – MalaysiaGazette