Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Datuk Mohd Daud Bakar bercakap pada sidang media di Bilik Mesyuarat YaPEIM, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) menegaskan isu-isu yang timbul berkaitan agensi itu baru-baru ini merupakan isu lama di bawah Lembaga Pemegang Amanah (LPA) terdahulu.

Pengerusinya, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, isu seperti bonus yang dinikmati oleh pengurusan kanan, bayaran peguam, dakwaaan kerugian Ar-Rahnu dan isu-isu lain tidak berlaku pada LPA yang terkini.

“Sejak November 2018, pihak LPA Yapeim yang baharu telah meneliti kesemua hal berkaitan dan pelbagai lagi isu serta telah mengambil tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, semasa mengambil alih kepimpinan Yapeim beliau telah melantik firma audit PwC (PricewaterhouseCoopers) pada 16 Disember tahun lalu untuk membuat semakan tadbir urus terutamanya polisi perolehan dan perbelanjaan.

Katanya, khidmat badan profesional itu diperlukan bagi menambah baik persepsi dan perspektif setiap golongan masyarakat terhadap tadbir urus dan hala tuju Yapeim.

Berdasarkan kepada laporan firma PwC dan juga dapatan daripada inisitif pihak LPA sendiri yang melakukan pemantauan dan interaksi dengan pihak pengurusan secara berterusan sejak November 2018, beberapa isu telah dikenal pasti.

“Pihak LPA Yapeim telah mengenalpasti beberapa kemungkinan salah laku dan kecuaian pentadbiran oleh pihak pengurusan Yapeim sejak beberapa tahun lepas.

“Pihak LPA Yapeim merasa bimbang dengan semua dapatan ini tetapi amat gembira dapat menyelesaikan urusan penelitian ini sebaik mungkin mengikut piawaian profesionalisme yang tinggi dengan kerjasama firma PwC,” ujarnya.

Tambah beliau, inisiatif tersebut merupakan fasa pemulihan Yapeim di atas landasan tadbir urus yang lebih mampan dan berintegriti sesuai dengan peranan Yapeim sebagai pencetus sosial, aktiviti amal jariah dan kebajikan umat Islam di Malaysia.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh mengesahkan akaun Yapeim telah diaudit oleh firma audit terkemuka PwC.

Fauziah mengulas laporan sebuah portal yang mendakwa dana Yapeim berjumlah RM1 juta untuk membantu anak yatim telah disalah guna bagi membayar yuran guaman pembantu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2017.

Dalam pada itu, Mohd Daud berkata, LPA Yapeim sudah menstruktur semula semua jawatankuasa  bagi menambahbaik tadbir urus serta semak dan imbang yang sihat.

Jelasnya, jawatankuasa itu adalah bagi meneliti aktiviti dan profil setiap anak syarikat milik penuh dan syarikat di bawah kawalan serta membuat keputusan untuk menjadikan sebahagian besar syarikat-syarikat itu dorman bagi mengurangkan kos pentadbiran dan mengstruktur beberapa syarikat yang mengalami kerugian.

Pada masa sama kata beliau, langkah itu bertujuan mengukuh dan membuat penjenamaan semula supaya semua aktiviti syarikat dan institusi Yapeim berfokus kepada aktiviti perniagaan, amal jariah dan kebajikan.

Dalam pada itu, Mohd Daud berkata, satu sidang media khas akan diadakan minggu depan bagi menjelaskan isu-isu dan persoalan berkaitan Yapeim yang belum terjawab. – MalaysiaGazette