Azih Muda mendesak kerajaan segera mernagka garis panduan mengawal hospital swasta daripda mencaj bayaran rawatan melampau dari pesakit.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menetapkan satu garis panduan tetap melibatkan caj atau bayaran rawatan perubatan di semua hospital perubatan swasta di negara ini.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu perkara itu diambil serius oleh kerajaan memandangkan kadar caj yang dikenakan di kebanyakan hospital swasta semakin tinggi dan meningkat.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, trend peningkatan berterusan caj rawatan perubatan di hospital swasta didakwa tidak masuk akal dan melampaui batas khususnya kepada penjawat awam berpendapatan rendah yang hanya ada perlindungan insurans yang tidak setimpal nilai perubatan semasa.

“Saya dapat melihat jika kerajaan boleh meminda dasar dan undang-undang yang didapati tidak sesuai dalam persekitaran negara sekarang. Kenapa tidak menggubal suatu dasar atau kaedah dan meminda undang-undang untuk mengawal caj serta tuntutan rawatan perubatan yang melampau oleh hospital swasta.

“Kadar caj perubatan di hospital swasta kini semakin tinggi sehingga disifatkan tidak masuk akal tetapi kesemua insurans yang dimiliki penjawat awam dan masyarakat miskin kadar premium lebih rendah kerana kadar tuntutan hospital swasta semakin meningkat tanpa penghujung sedangkan sebatang jarum pun dia caj, benang sehelai pun dia caj.

“Berkemungkinan yang miskin akan tertinggal di belakang dan golongan berada sahaja akan diberi rawatan terbaik nanti dan kita tidak mahu situasi itu wujud di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Iftar Ramadan CEUPACS dan Media bersama Kakitangan Kumpulan Mediacare di sini hari ini.

Menurut Azih, penjawat awam juga ada juga perlu menambah premium sendiri kerana caj yang dikenakan di hospital swasta semakin hari semakin tinggi.

Katanya, satu garis panduan atau dasar perlu dirangka kerajaan dibawah kementerian Kesihatan untuk menetapkan kadar caj standard bagi rawatan di hospital swasta untuk membolehkan  penjawat awam dan swasta bermanfaat menerusi polisi insurans yang dimilikinya.

Menurut beliau, kalau kerajaan menggalakkan mereka mengambil insurans pada masa yang sama caj di hospital swasta meningkat dan premium insurans pula bertambah, sudah tentu orang tidak mampu membeli insurans perlindungan.

Beliau mahu kerajaan mengkaji semula kadar caj rawatan yang dikenakan  sama ada bayaran profesional doktor pakar pembedahan dan sebagainya dan mesti ada satu standard yang boleh diterima.

“Sekarang ini kita nampak bukan sahaja caj ini daripada katil malah sehingga bilik katil, peralatan perubatan dan pendingin hawa juga semuanya dimasukkan caj sewenang-wenangnya dalam bil dan buat tuntutan sehingga RM7,000 ke RM8,000.

“Kami telah berunding dengan syarikat penyedia insurans perlindungan perubatan dan jangka hayat mendapati setiap tiga empat tahun premium insurans kena disemak semula oleh mereka kerana ada peningkatan dalam tuntutan hospital berkenaan yang memaksa penjawat awam selaku pemegang polisi insuransberbayar mahal kadar premiumnya.

“Jika ia terus berlaku, rakyat kita tidak akan mendapat perkhidmatan perubatan terbaik bermakna hasrat negara sejahtera tidak akan terlaksana kalau hospital swasta asyik pentingkan keuntungan dari pesakit,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast