Saksi yang juga Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr. Ahmad Hafizam Hasmi.

SHAH ALAM – Saksi ke-24 inkues kematian anggota bomba hari ini didakwa mengelirukan mahkamah apabila melampirkan gambar bahu jalan sebagai salah satu bahan bukti untuk menguatkan punca kecederaan parah di dada yang dialami Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Peguam Syazlin Mansor berkata demikian merujuk kepada sekeping gambar yang dikepilkan bersama dalam fail bertajuk ‘Kebarangkalian paling mugkin berlaku menerusi corak kecederaan’ daripada Pakar Forensik Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan dikemukakan mahkamah sebelum ini.

Beliau mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Tindakannya tersebut menurut Syazlin, tidak wajar apatah lagi  Hafizam sehingga kini tidak secara yakin dapat memastikan bahu jalan adalah punca kecederaan Adib di bahagian dada sehingga mematahkan beberapa tulang rusuk di depan kanan dan juga belakangnya.

“Koleksi gambar ‘Kebarangkalian paling mugkin berlaku menerusi corak kecederaan  turut meletakkan gambar bahu jalan.

”Kenapa letak kalau tidak dapat pastikan ia bukan punca sebenar? Kan ia mengelirukan mahkamah,” katanya di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Walaubagaimanapun Hafizam mempertahankan dirinya berkata tindakan itu tidak mengelirukan mahkamah.

Beliau sebelum ini berkata, bahu jalan objek berkemungkinan paling hampir kerana ciri-cirinya yang tumpul, lebar, keras, menonjol dan mempunyai permukaan kasar.

Beliau hari ini turut ditunjukkan eksperimen yang dijalankan pihak bomba terhadap corak kecederaan  boleh dialami jika seseorang jatuh mengenai bahu jalan di kawasan Kuil Sri Maha Mariamman.

Oleh kerana tiada satu pun corak menerusinya sepadan dengan kecederaan mangsa, justeru Hafizam berpendirian kebarangkalian untuk Adib jatuh mengenai bahu jalan jtu tidak terhad hanya pada uji kaji yang dilakukan.

Malah beliau menganggapnya sebagai eksperimen yang boleh dicabar selain menyifatkan ia hanya membuang masa.

“Ada 1001 kemungkinan bagaimana kejatuhan itu berlaku. Eksperimen itu boleh dicabar dan perbuatan itu membuang masa,” katanya lagi. -MalaysiaGazette