Penyanyi Aliff Aziz bersama bekas isterinya, Bella Astillah.

KUALA LUMPUR – Seperti drama bersiri, kontroversi membabitkan pelakon Aliff Aziz memasuki episod baharu apabila tersebar sekeping lagi gambar panas di laman sosial.

Menerusi foto yang tular sejak pagi tadi, muncul pula beberapa keping foto penyanyi itu dengan seorang janda.

Namun wanita yang dikenali sebagai Meri Meina pantas menjelaskan foto dia bersama Aliff Aziz merupakan gambar lama yang disebarkan individu tidak bertanggungjawab.

Meri yang juga seorang ibu tunggal beranak satu itu menjelaskan telefon bimbit miliknya hilang beberapa hari sebelum Ramadan.

“Terima kasih kerana viralkan gambar-gambar saya dengan Aliff Aziz. Tapi gambar itu adalah gambar lama saya dengan dia, kenapa nak kena naik sekarang?

“Ya, telefon bimbit saya baru-baru ini hilang dekat kelab malam sebelum puasa. Saya tak pasti mereka ambil gambar atau apa dan baru sekarang nak viralkan.

“Good job Malaysia, tapi macam basi sahaja,” katanya menerusi penstriman secara langsung di laman Facebook.

Selain itu, Meri menjelaskan dia tidak mempunyai apa-apa hubungan istimewa bersama penyanyi itu.

Melalui live di Facebbok itu, Meri juga sempat menempelak netizen yang menuduhnya sebagai perosak rumah tangga Aliff Aziz dan isterinya, Bella Astillah.

Terdahulu, beberapa keping foto memaparkan seorang wanita bercumbuan dan kelihatan mesra bersama Aliff dipercayai berada di sebuah kelab hiburan.

Selasa lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan kecurangan kali ketiga Aliff Aziz apabila foto tidak berbaju bersama seorang gadis berusia 16 tahun bernama Nismell tersebar di laman sosial.

Perkara itu membuatkan isterinya Bella Astillah mengambil keputusan tegas mempertimbangkan untuk hidup bersama anaknya tanpa Aliff. – MalaysiaGazette