Tertuduh membuat pengakuan itu setelah kertas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Noorasyikin Sahat.
Gambar hiasan

RAUB –  Seorang lelaki warga Vietnam dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan didenda RM13,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, setelah mengaku bersalah membalak secara haram dan menceroboh Hutan Simpan Lentang, Bentong dekat sini, Mac lepas.

Hakim Mazelan Jamaludin juga memerintahkan tempoh hukuman penjara terhadap Huynh Van Van, 59, ditambah 16 bulan, jika tertuduh gagal membayar denda itu.

Bagi pertuduhan pertama, Huynh dihukum penjara dua tahun dan denda RM10,000 atau 10 bulan penjara jika gagal membayar denda, kerana didakwa memindahkan tujuh tual pokok tanpa lesen yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 81(1)(b) Akta Perhutanan Negara 1984.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 81(2)(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Huynh dihukum penjara setahun dan denda RM3,000 atau jika gagal menjelaskannya dipenjara selama enam bulan bagi pertuduhan kedua, kerana didakwa menceroboh hutan simpan kekal tanpa kebenaran yang sah mengikut Seksyen 47(1) akta sama yang digunapakai Pahang sebagai Enakmen Perhutanan Negara (Negeri-negeri Malaysia)(Pemakaian) 1986.

Bagi kesalahan itu, hukuman yang diperuntukkan ialah di bawah Seksyen 47(4) ialah denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kompartmen 61, Hutan Simpan Lentang, Bentong dekat sini, pukul 10.30 pagi, 12 Mac lepas.

Bagaimanapun, Mazelan memerintahkan supaya hukuman kedua-dua kesalahan itu berjalan serentak daripada tarikh dia ditangkap.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan tertuduh terbongkar apabila pegawai Jabatan Hutan Pahang yang melakukan rondaan menemui jalan yang baharu digunakan dan seorang Orang Asli yang ditemui di situ memandu arah ke tempat tertuduh menebang pokok.

Semasa ditemui, tertuduh mempunyai pelbagai kelengkapan untuk menebang pokok antaranya gergaji berantai, kelengkapan membaiki gergaji dan peralatan untuk menukar bentuk kayu selain terdapat longgokan kayu yang telah dipotong.

Sementara itu, Huynh yang tidak diwakili peguam menerusi jurubahasa Vietnam merayu mahkamah meringankan hukumannya kerana mempunyai anak yang masih bersekolah di negara asal.

“Saya datang ke sini untuk bekerja menjaga kebun dan mengambil hasil hutan kerana mahu mendapatkan pendapatan lebih,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Mason Jaro Lenya Barayan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap perbuatan tertuduh yang telah menyebabkan kerugian kepada kerajaan.

Huynh gagal menjelaskan denda tersebut. – MalaysiaGazette