Nelayan Vietnam yang ditahan oleh APMM - gambar fail

KUALA LUMPUR – Sebanyak 25 bot nelayan dan 123 orang awak awak warga Vietnam berjaya ditangkap di perairan negara dalam Ops Naga oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Operasi khas yang dijalankan antara 2 Mei hingga 16 Mei lalu itu melibatkan pengoperasian bersepadu bersama Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Udara Polis dan Jabatan Perikanan.

Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa perondaan di perairan dan ruang udara negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan dilaksanakan hasil keputusan menerusi Mesyuarat Pasukan Khas menangani pencerobohan nelayan asing pada 25 April lalu.

Keseluruhan kes tangkapan itu akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 menangkap ikan tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/1963 memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Dengan kejayaan berkenaan Ops Naga akan diteruskan di perairan negara demi memastikan perairan tidak diceroboh dan nelayan-nelayan tempatan dapat menjalankan aktiviti mereka tanpa gangguan dan saingan daripada nelayan asing.

Dalam pada itu dalam Ops bersepadu APMM dan Imigresen pada 14 Mei lalu turut membawa kepada penahanan 15 nelayan warga Vietnam kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan.

Malah Kenyataan KDN juga mendedahkan sijil Permit Lawatan Kerja Sementara yang dimiliki 15 warga Vietnam itu disyaki palsu.

Salah sebuah rumah yang diserbu juga disyaki menjalankan aktiviti tonto berdasarkan penemuan alat komunikasi radio HF dan kesemua ditahan itu akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963. – MalaysiaGazette