Teng Chang Khim

KLANG – Exco Selangor, Teng Chang Khim mengkritik tindakan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik sebagai “bodoh” apabila mengeluarkan kenyataan berhubung isu kuota untuk matrikulasi.

Maszlee sebelum ini dilaporkan berkata: “Kerajaan hanya boleh mempertimbangkan kuota matrikulasi dihapuskan jika bumiputera yang tidak fasih bahasa Cina tidak ditolak permohonan pekerjaan.”

Kenyataan itu telah mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk daripada Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy yang menyatakan Maszlee tidak berbeza berbanding ahli politik Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, Chang Khim memberitahu  Sinchew Daily bahawa tindakan Maszlee mengaitkan dua perkara yang tidak berkaitan sebagai tidak bijak.

Beliau berkata, matrikulasi memang bertujuan membantu bumiputera dan merupakan satu fakta, tetapi ia perlu dinilai semula jika wujud keadaan tidak adil.

“Kenyataan menteri bahawa bumiputera yang tidak fasih Cina ditolak pekerjaan pula ialah satu dakwaan yang tidak berdasarkan fakta. Syarikat membuat keputusan berdasarkan keperluan operasi dan juga pasaran.

“Kami tidak boleh meminta akhbar Cina untuk mengambil orang yang tidak pandai bahasa Cina untuk menjadi ketua pengarang,” katanya kepada Sinchew Daily,

Chang Khim berkata, seorang menteri harus berhujah secara bijak dan bukannya mengeruhkan hubungan antara kaum.

“Saya tidak gentar jika Maszlee mahu mengambil tindakan balas. Saya bersedia jika beliau mahu mencari saya untuk berdebat,” katanya. – MalaysiaGazette