KUALA LUMPUR – Tindakan Ketua Pemuda DAPSY, Howard Lee yang menulis sebuah artikel yang disiarkan oleh sebuah laman portal berhubung isu 13 Mei disifatkan sebagai satu cubaan untuk menipu rakyat dan memesongkan sejarah negara.

Malah, Lee cuba memberikan pandangan ‘salah’ terhadap perkara itu apabila menyatakan peristiwa hitam 13 Mei bukan berpunca daripada DAP sebaliknya, Parti Komunis Malaya (PKM), kata Penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff dalam satu kenyataan.

Sambil menggariskan lima perkara berdasarkan kertas putih bagi menunjukkan hakikat sebenar peristiwa yang berlaku pada tahun 1969 itu, Kamarul Zaman berkata, penahanan pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang di bawah Seksyen 11(2)(b) ISA pada 18 Mei tahun berkenaan merupakan bukti bahawa veteran parti itu sendiri sudah mempertikaikan pembahagian rakyat kepada ‘Bumiputera’ dan ‘bukan Bumiputera’.

“Menjawab pertuduhan terhadap beliau pada 30 Julai 1969, Lim Kit Siang dengan berani mengakui penentangan beliau ke atas pembahagian rakyat kepada ‘Bumiputera’ dan ‘bukan Bumiputera’ kerana beranggapan bantuan perlu diberi berasaskan ‘need’ (keperluan) bukan ‘race’ (bangsa).

“Dalam sidang Parlimen pada 3 Mac 1971, Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, menggelar Ahli-Ahli Parlimen DAP sebagai seperti “ruthless, tricky, smooth, suave, slick political rogues” (kejam, rumit, licin, cerdik, penyangak politik licin) yang menggunakan isu-isu sensitif untuk menang dalam PRU 3,” katanya.

 

Dr. Kamarul Zaman Yusoff
Dr. Kamarul Zaman Yusoff

Tambah beliau, turut diungkapkan oleh Dr Ismail petikan pelbagai kenyataan sensitif Kit Siang yang antaranya menolak bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal dan yang didakwa tidak mengiktiraf kedudukan istimewa Melayu, tanpa apa-apa bantahan dari wakil DAP.

“Semua ini adalah bukti nyata DAP tidak boleh berlepas tangan daripada Peristiwa 13 Mei,” tegasnya.

Katanya lagi, meskipun Kit Siang telah ditahan di bawah ISA kerana mempertikaikan pembahagian rakyat kepada ‘Bumiputera’ dan ‘bukan Bumiputera’, selaras dengan Deklarasi Setapak 1967, hingga kini prinsip itu tetap menjadi pegangan DAP.

“Bandingkan sahaja kenyataan Lim Kit Siang mengenai perkara ini sebelum beliau ditahan di bawah ISA, antaranya ialah pada 29 September 1968, 2 November 1968, 7 Januari 1969, 25 Januari 1969, 26 Januari 1969, 7 Mei 1969 dan 13 Mei 1969, dengan kenyataan baru beliau.

“Ini belum lagi diambil kira kenyataan lebih baru Lim Guan Eng dan Anthony Loke. Soalnya kini, setelah menang, bila dan bagaimana pembahagian ini mahu dihapuskan?

“Cukupkah agaknya dengan pemberian bantuan berasaskan ‘need’ bukan ‘race’ sahaja dahulu?” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast