Gelagat seorang mahasiswa ketika berkumpul di hadapan Menara PTPTN selepas selesai berarak pada Himpunan Tuntut Janji PTPTN di sekitar kawasan Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Daripada mengenakan cadangan beberapa sekatan ke atas para peminjam, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disarankan supaya menyemak semula prosedur kelulusan permohonan pinjaman oleh tabung tersebut.

Semakan perlu dilaksanakan PTPTN dalam mencari punca kepada masalah kegagalan para peminjam melunaskan pinjaman pendidikan mereka.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George berkata, ini kerana kajian yang dilakukan oleh persatuan itu berhubung isu yang sama mendapati, PTPTN banyak memberi pinjaman kepada penuntut-penuntut di kolej swasta.

Kolej-kolej swasta ini pula sebenarnya mempunyai masalah mendapatkan penuntut, lantaran itu skim pinjaman PTPTN dijadikan sandaran atau alat untuk menggalakkan para pelajar menyambung pendidikan mereka.

Kajian yang dijalankan oleh CASSA mengesan ada kolej-kolej swasta menawarkan program pendidikan yang tidak dikehendaki dalam pasaran pekerjaan di Malaysia atau menerima lambakan penuntut dalam jurusan pengajian tertentu.

Apabila ini berlaku, penuntut yang tamat pengajian tidak dapat pekerjaan atau terpaksa bekerja dalam bidang bukan kelulusannya.

MGF16012019_PC Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA)_02
Jacob George

“Inilah realiti yang berlaku dalam isu PTPTN. Di dalam pasaran sekarang, kita ada banyak tenaga jururawat tetapi tidak diterima kerja di hospital kerajaan atau pun swasta. Begitu juga dengan lambakan penuntut komunikasi korporat yang kebanyakan menerima pinjaman PTPTN tetapi tidak mendapat kerja.

“Atau ada dalam kalangan sudah mendapat kerja tetapi bekerja di pasar-pasar raya kerana jurusan yang diambil sukar diterima oleh pasaran kerja. Itulah yang berlaku dan saya harap kerajaan dan pengurusan PTPTN lihat semula masalah yang menjadi akar kepada isu PTPTN,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Disebabkan ini, walapun peminjam-peminjam diberi pinjaman berdasarkan kontrak dan ada penjamin namun mereka gagal menjelaskan hutang kerana masih bergelut dengan pekerjaan.

Mereka yang mempunyail iltizam untuk bayar pula, terkekang dengan bayaran dan faedah yang tinggi dikenakan oleh PTPTN.

“Saya berharap perkara-perkara sekecil ini diaudit atau diambil tindakan oleh PTPTN dalam berusaha menyelesaikan isu tabung tersebut,” kata George yang mengakui cadangan sekatan atau mengisytiharkan bankrap kepada peminjam hanya menimbulkan isu politik berbanding menyelesaikannya secara menyeluruh.

Meskipun bukan mudah, George berkata, PTPTN perlu menangani isu peminjam tabung itu kerana ia juga berpotensi memberi imej tidak baik kepada pelabur-pelabur asing.

“Isunya adalah bakat-bakat negara tidak bertanggungjawab dalam menjelaskan hutang dan negara memiliki tenaga buruh yang tidak berkelayakan.

“Perkara-perkara ini sebenarnya memberi imej buruk kepada negara,” ujarnya sambil menyifatkan pinjaman PTPTN sewajarnya ditapis dengan ketat tetapi memberi keutamaan kepada penuntut dalam kalangan keluarga B40.

Artikel berkaitan: U-turn PTPTN, PH ‘terbelit’ janji sendiri

Senaraihitam peminjam PTPTN tindakan ekstrem

PTPTN kena kecam

Selain itu, PTPTN harus memastikan permohonan diproses bagi pemohon, kolej atau universiti serta pengajian yang layak sahaja.

“Cadangan ini memang nampak agak ketat tetapi PTPTN perlu melakukan reformasi yang lebih munasabah demi memastikan generasi akan datang tidak dianiaya oleh para peminjam yang tidak bertanggungjawab,” tambah George.

Baru-baru ini, PTPTN memaklumkan mungkin akan memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman jika perkara itu dimahukan orang ramai.

Dalam taklimat media bersama pentadbiran tinggi PTPTN, ia juga sedang melihat beberapa cadangan lain untuk mengutip baki pinjaman pendidikan.

Menurut Timbalan CEO PTPTN, Mastura Mohd Khalid, ini termasuk cadangan menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan kepada Kabinet.

Bagaimanapun, menurut Mastura, sekatan perjalanan merupakan kaedah paling berkesan oleh PTPTN dalam usaha mengumpul balik bayaran pinjaman daripada peminjam yang gagal membuat bayaran. – – MalaysiaGazette