KUALA LUMPUR – Pengalun lagu Jampi Hael Husaini mengaku menghidapi suatu penyakit sejak dua bulan lalu.

Demi sembuh beliau terpaksa korbankan berat badan yang naik hingga 10 kilogram (kg) akibat pengambilan ubat khususnya steroid.

Namun Hael tidak mahu mendedahkan penyakit yang dihidapinya.

“Saya berdepan dengan penyakit ini sejak dua bulan lalu. Saya cuba hadapi kerana jadual kerja yang padat. Akibat kurang rehat, penyakit ini bertambah mudarat.

“Selain mengambil antibiotik mengikut dos ditetapkan, steroid membuatkan berat badan saya naik mendadak.

“Tidak cukup itu, saya dikecam dan dilemparkan kata-kata negatif di media sosial mengenai pertambahan berat badan ini.

“Saya tak mahu menjadikan penyakit itu sebagai alasan atas semua ini. Sukar untuk saya jelaskan lebih lanjut mengenai kesihatan diri,” katanya.

Hael mengaku ada pihak turut mencadangkannya mendapatkan rawatan alternatif.

“Sebenarnya, saya kurang percaya perkara ini dan memilih untuk menggunakan kaedah saintifik terlebih dahulu.

“Alhamdulillah, buat masa ini, saya sudah sihat dan boleh kembali fokus kepada kerjaya.

“Jika keadaan kesihatan kurang memberangsangkan, apabila tiba masanya nanti, saya akan mendapatkan nasihat mereka yang arif berhubung perkara ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette