Najib Tun Razak. foto AFFAN FAUZI, 14 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Berani debat ke tidak?, demikian cabaran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Najib berkata, Kit Siang boleh mengemukakan apa sahaja soalan dalam mana-mana topik selepas pemimpin kanan DAP itu menyerangnya secara terbuka, baru-baru ini.

“Jom, Kit Siang. Debat freestyle. Any topic. Boleh tanya apa-apa sahaja.

“Pasti boss DAP ini suka. ON x ON ?

“Sekiranya dia cukup lapang untuk menulis pelbagai kenyataan setiap hari, dia sepatutnya lapang untuk berdebat,” katanya di Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, Kit Siang mendakwa frasa ‘Malu Apa Bossku’ telah melanggar Rukunegara kerana cuba menghalang reformasi kerajaan Pakatan Harapan.

“(Ini) satu cabaran kepada Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 dan halangan kepada misi kebangsaan untuk mengubah Malaysia daripada kleptokrasi global kepada negara berintegriti,” kata Kit Siang.

Perang mulut antara Najib dan Kit Siang berlarutan sehinggalah Ahli Parlimen Pekan itu menggelarkan ‘Menteri Hal Ehwal Najib’.

Memetik laporan FMT, Najib berkata, Kit Siang boleh berdebat dengannya pada bila-bila masa namun berharap beliau memahami jadualnya yang terhalang oleh kes mahkamah yang berterusan.

“Kerajaan Pakatan Harapan tidak mahu saya terlalu lapang. Tetapi saya akan meluangkan masa untuk Kit Siang jika dia sedia berdebat.

“Ia boleh jadi perdebatan gaya bebas untuk bercakap. Dia boleh bertanya apa-apa pada saya, termasuk 1MDB. Dan saya boleh bertanya apa-apa padanya. Dalam semangat demokrasi yang sihat, dia harus menyahut cabaran,” demikan menurut Najib. -MalaysiaGazette