Kapal penyerang Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Kearsarge dan kapal pemusnah peluru berpandu berpandu ASS Bainbridge kelas Arleigh Burke di Laut Arab. foto Reuters

PENTAGON – Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat sedang menimbang permintaan tentera Amerika Syarikat untuk menghantar kira-kira 5,000 tentera tambahan ke Timur Tengah berikutan peningkatan ketegangan dengan Iran.

Ketegangan itu timbul selepas Washington mengarahkan pemberhentian terus eksport minyak Iran dan memperkukuhkan kehadiran ketenteraan Amerika Syarikat di Teluk.

Pegawai-pegawai yang memaklumkan perkara itu berkata, permintaan itu telah dibuat oleh Komando Pusat Amerika Syarikat tetapi tidak pasti apakah Pentagon akan meluluskan permintaan itu.

Pentagon yang dirujuk kepada Ibu Pejabat Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, selalunya menerima dan menolak sebarang tambahan sumber daripada Markas Medan Bersepadu Amerika Syarikat di seluruh dunia.

Malah, sumber juga tidak jelas jika ada permintaan tertentu yang akan dikemukakan kepada White House.

Ini merupakan permintaan terkini untuk sumber tambahan dalam menghadapi apa yang dikatakan Washington sebagai ancaman daripada Iran terhadap tentera A.S. dan kepentingannya di Timur Tengah.

Tetapi Amerika Syarikat tidak menunjukkan apa-apa bukti secara khusus tentang dakwaan terhadap ancaman Iran.

Pentagon pula enggan mengulas mengenai tambahan tentera itu.

“Sebagai mematuhi dasar, kami tidak akan membincangkan atau membuat spekulasi mengenai potensi masa depan dan permintaan untuk pasukan,” kata komander Rebecca Rebarich, jurucakap Pentagon ketika diminta mengulas perkara itu. – MalaysiaGazette