.Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar berkata kanak-kanak itu telah dibawa sendiri oleh suspek untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini, namun doktor yang menjalankan pemeriksaan mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan yang bertindak di luar perikemanusian dengan menembak kepala monyet menggunakan pistol akhirnya dicekup polis malam tadi.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, lelaki tersebut ditangkap di sebuah rumah di Sitiawan, Perak kira-kira jam 9 malam tadi.

Jelas Asmawati, berdasarkan maklumat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Manjung Perak, polis telah menahan dua lelaki, iaitu anak dan bapa.

Selain itu, kata beliau, pihaknya juga telah merampas pistol yang  disyaki digunakan untuk melakukan jenayah tersebut.

“Kedua-dua mereka telah di bawa ke IPD Manjung bagi siasatan dan tindakan susulan pada masa ini.

“Kita menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan (KK).

“Menerusi Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960, kes disiasat kerana penggunaan senjata api di tempat yang tidak dibenarkan.

“Seksyen 428 KK pula digunakan kerana melakukan khianat dengan membunuh atau mencacatkan haiwan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas insiden tersebut menerusi rakaman video berdurasi 21 saat yang viral di laman media sosial sejak 17 Mei lalu, selepas ia dikongsi oleh sebuah portal hiburan tempatan.

Pada awal rakaman video berkenaan, kedengaran lelaki itu bercakap dengan monyet terbabit ‘aku kira sampai tiga, kalau kau tak cakap baby sayang, aku tembak kau’ sebelum membuat kiraan 1, 2 dan 3 dan menembak monyet malang itu tanpa belas kasihan.

Rata-rata netizen turut mengecam perbuatan lelaki tersebut yang disifatkan sebagai terlalu kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Dalam pada itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perlihitan) menerusi satu ciapan Twitter memaklumkan jabatan itu sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian sama.

“Perlihitan memandang serius terhadap sebuah video yang mula tular sejak semalam (kelmarin) yang memaparkan seorang individu disyaki telah ‘menembak’ seekor beruk yang diletakkan di dalam sangkar.

“Perlihitan sedang menjalankan siasatan bagi menentukan kesahihan video ini dan siasatan juga dijalankan di bawah peruntukan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 1010 (Akta 716) kerana perlakuan zalim ke atas hidupan liar,” katanya. -MalaysiaGazette