JAKARTA – Rusuhan di Jakarta, yang dikaitkan dengan bantahan terhadap keputusan Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2019), dilaporkan turut merebak di Pontianak, Kalimantan.
Menurut laporan media tempatan, dua pos polis (pondok polis) di Kota Pontianak, dibakar perusuh, semalam.
Setakat ini, 38 perusuh ditahan dan keadaan dilaporkan kembali terkawal.
Di Jakarta malam tadi, sebuah pondok polis di Jalan KH Wahid Hasyim, Jakarta Pusat, turut dibakar perusuh.
Sejumlah perusuh ditahan pihak berkuasa malam tadi, namun belum ada sebarang kenyataan polis berhubung tangkapan itu setakat ini.
Berdasarkan pemantauan di Jakarta pagi ini, premis-premis perniagaan dan komersial di sekitar Jalan MH Thamrin, Jalan Sabang, kawasan Tanah Abang, Jalan KH Wahid Hasyim, dan Haji Agus Salim, dan kompeks Membeli belah Sarinah, masih ditutup.
Beberapa jalan raya yang menempatkan bangunan Komisi Pemilihan Umum, Badan Pengawas Pemilihan Umum, serta stesen MRT dan bas, di kawasan berkenaan turut ditutup sementara.
Lebih 50,000 polis dan tentera masih ditempatkan di kawasan- kawasan strategik di Jakarta.
Beberapa kejadian rusuhan itu menyebabkan banyak pihak melahirkan kebimbangan terhadap kesannya kepada ekonomi dan kestabilan sosio politik di Indonesia.
Ramai pemerhati politik berharap calon Pilpres 2019, yang diumumkan kalah, Prabowo Subianto, memainkan peranan penting dan mengadakan pertemuan bersama Presiden Joko Widodo bagi mengembalikan suasana aman di Jakarta. – MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/22/6-maut-rusuhan-di-jakarta/