Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menyindir Lim Kit Siang yang bertindak tarik diri selepas setuju untuk berdebat dengannya.

Secara sinis, bekas perdana menteri itu berkata, yang setuju debat Kit Siang dan yang bagi tajuk debat “Bagaimana Malaysia terjerumus menjadi sebuah kleptokrasi global dan bagaimana kita boleh kembali menjadi sebuah negara terulung yang berintegriti” juga Penasihat DAP itu.

“Yang tarik diri juga Kit Siang,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau mengulas kenyataan panjang lebar Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu yang tidak mahu berdebat dengan Najib, tidak sampai 48 jam menyatakan persetujuan sebelumnya.

Dalam kenyataan panjang lebarnya, Kit Siang berkata, beliau memutuskan untuk tidak meneruskan debat dengan Najib kerana bimbang debat tersebut akan dimanipulasi menjadi satu konflik Melayu vs Cina.

Malah, beliau mendakwa ‘dihujani’ banyak nasihat menerusi email dan pesanan Whatsapp meminta supaya menghentikan hasrat untuk meneruskan debat yang dicadangkan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Menerusi kenyataan di sini, Kit Siang berkata, perang melawan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan jenayah seperti pengubahan wang haram bukanlah isu perkauman atau keagamaan.

Tetapi, ia adalah nilai murni dan pentadbiran yang baik, justeru beliau memutuskan untuk tidak meneruskan debat dengan Najib.

Biarpun sedar keputusan terebut akan disambut dengan pelbagai tuduhan termasuk beliau seorang penakut, Kit Siang berkata, sebagai ahli politik selama 53 tahun, beliau terbuka untuk dihakimi oleh rakyat.

Dalam hantaran berasingan, Najib bertanya: “La… siapakan yang hujani Kit Siang? Itu air hujan ke apa?,”.

Najib berkata, beliau akan membuat kenyataan berhubung penarikan diri oleh Kit Siang. – MalaysiaGazette