Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menyempurnakan gimik pelepasan pada Majlis Pelancaran Op Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri di Menara TM, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Semuanya belum terlambat selagi kita belum pakai baju oren (lokap).

“Kita (polis) perlu hayati ikrar sumpah menegakkan undang undang semasa menjalani latihan di pusat latihan polis tapi di separuh jalan kita terpalit dengan kegiatan dan amalan yang tak baik”.

Itu kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador kepada pegawai kanan dan anggota polis mengenai komitmennya dalam soal rasuah dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau menasihatkan pegawai dan anggota polis akan berusaha untuk menghapuskan dan mengurangkan kejadian rasuah dalam pasukan itu.

“Contoh dalam kes sindiket judi dan maksiat yang beroperasi di mana mana di negara ini, pegawai polis dikaitkan berkompromi sebelum ini dengan sindiket-sindiket berkenaan.

“Saya telah nasihatkan dan memberi amaran kepada pegawai pegawai supaya memutuskan segera apa jua hubungan yang terjalin selama ini dengan sindiket-sindiket itu.

“Saya juga menyeru tokey-tokey sindiket judi dan maksiat semua kini Malaysia negara kaya sumber semulajadi dan sumber manusia jadi buatlah perniagaan halal kenapa perlu menjurus kepada tidak halal, kerana ia hanya merosakkan tamadun manusia dan harus ditentang sekeras-kerasnya,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran Ops Selamat ke15 2019 anjuran Telekom Malaysia (TM) di Lembah Pantai di sini hari ini.

Tambah Abdul Hamid,masih tidak terlambat untuk pegawai-pegawai PDRM untuk menghentikan persahabatan dengan sindiket dan kembali ke pangkal jalan.

Tegas beliau, jika ada 500 anggota yang ‘kotor’ ada juga 125,000 anggota dan pegawai yang baik dan berintegriti yang harus dijadikan contoh dalam pasukan.

“Saya akan memastikan satu pasukan polis terbaik daripada kepimpinan atas PDRM dan saya sudah keluarkan arahan hentikan segala amalan tidak baik.

“Saya mahu mereka beriktibar dan berteladan dari kepimpinan atas dan tidak akan ada lagi yang mendesak orang-orang bawah mencari penajaan dan sebagainya. Semua ada hadnya dan peraturan dalam kerajaan ini, cuma selama ini tidak diambil perhatian.

“Jadi amalan budaya sebegini menular dan tertanam dalam PDRM selama ini harus dikikis dan saya yakin boleh melakukannya,” katanya lagi.

Beliau juga diminta mengulas mengenai tindakan Penguatkuasa Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Thailand Kelantan yang menangkap pengguna yang cuba melepaskan diri dengan cuba memberi suapan wang.

Abdul Hamid sedia maklum mengenainya semasa lawatannya baru baru ini dan mengesahkan ada tangkapan dibuat anggotanya dalam insiden itu.

Beliau juga menyatakan rasa terkejut dengan beberapa insiden kes jenayah melibatkan anggota dan pegawai polis yang berlaku sejak akhir-akhir ini di sebalik hasrat memberikan ganjaran atas integriti mereka.

“Menyedihkan dalam bulan Ramadan ini beberapa kes yang ajaib yang saya sendiri tak terbayang yang sanggup dilakukan oleh anggota dan pegawai yang tidak bertanggungjawab menyamun pengurup wang  dan satu lagi kejadian jenayah di Pasir Mas, Kelantan baru baru ini.

“Walaupun kes berjaya diselesaikan dengan tangkapan suspek oleh pegawai PDRM, saya tidak akan berkompromi dan tindakan keras akan menyusul ke atas pegawai yang melakukan kesalahan.

“Kes berjaya diselesaikan dengan pantas sekali dan tangkapan dan reman diambil ke atas mereka dan ini menujukkan kita tidak bertolak ansur.

“Misalnya kita mungkin ambil kenyataan sahaja dan bebaskan dengan jaminan polis. Oleh kerana kesalahan itu berat kita perlukan mereka disoalsiat yang lebih juga jadi kita reman mereka dalam lokap.

“Itulah seriusnya tindakan kita ambil dalam kes-kes sedemikian,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast