Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengambil kira pandangan ramai berkenaan isu matrikulasi dan pendidikan tinggi negara termasuk Ketua Pemuda DAP, Howard Lee Chuan How.

Beliau turut memuji inisiatif dilakukan Howard selaku Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Perak yang datang menemuinya untuk membincangkan serta mengemukakan beberapa cadangan berhubung isu hangat tersebut.

Jelas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu, beliau terbuka menerima sebarang cadangan yang bersesuaian bagi meningkatkan kualiti dan sistem pendidikan dalam negara secara menyeluruh.

“Antara cadangan yang akan diperhalusi adalah mempertimbangkan penyerapan tempat sebanyak 15,000 pelajar di asasi-asasi institut pengajian tinggi awam (IPTA) sedia ada sebagai sebahagian daripada program matrikulasi. Tidak ada sebarang implikasi kos, isu kakitangan akademik dan kemudahan prasarana.

“Selain itu, Howard turut mencadangkan kemasukan markah Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) secara automatik bagi pelajar-pelajar STPM atau membuka 2,000 peluang kemasukan tambahan bagi 2,000 pelajar teratas mengikut markah CGPA tanpa mengira kaum,” katanya dalam laman Facebook rasminya hari ini.

Mengulas lanjut, Maszlee turut menyatakan setiap cadangan yang dikemukakan Howard sedang diteliti dengan lebih lanjut oleh Kementerian Pendidikan. – MalaysiaGazette