KUALA LUMPUR- Aliran keluar dana asing dalam minggu dagangan yang singkat antara 21-23 Mei berjumlah RM252.98 juta berbanding RM1.0 bilion pada minggu sebelumnya.
Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelabur asing melepaskan pegangan mereka memandangkan keadaan ketidakpastian yang semakin meningkat.
“Kami percaya tempoh ketidakpastian ini akan terus diberi perhatian utama antara sekarang sehingga sidang kemuncak G20 yang dijadualkan pada Jun. Data ekonomi adalah sederhana dinilai daripada indeks-indeks Indeks Pengurus Pembelian (PMI) baru-baru ini,” katanya kepada Bernama.
PMI bagi pembuatan di zon Eropah ketika ini berada pada 47.7 mata pada Mei, membayangkan sentimen pengeluar secara umumnya pesimis dan ini boleh memberi impak kepada keputusan mereka dalam mengambil pekerja dan perbelanjaan modal, kata Mohd Afzanizam.
Begitu juga di Amerika Syarikat (AS), PMI bagi pembuatan jatuh kepada 50.6 mata pada Mei daripada 52.6 mata sebelumnya manakala PMI pembuatan Jepun turun 49.6 mata pada Mei daripada 50.2 mata pada April.
“Perniagaan di negara-negara maju sangat berhati-hati sekarang. Oleh itu, ia berada dalam mod mengelak risiko dan kebiasaannya, pelabur akan mencari perlindungan daripada instrumen selamat seperti bon dan mata wang selamat seperti dolar AS, Yen, Euro dan Swiss Franc,” katanya.
Sementara itu, institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih berjumlah RM230.67 juta antara tempoh 21-23 Mei, lebih rendah berbanding RM934.18 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada minggu sebelumnya.
Ditanya mengenai peningkatan ketegangan perdagangan antara AS dan China, Mohd Afzanizam berkata kesannya kepada rantaian bekalan global dalam sektor teknologi mungkin agak teruk, dengan penyenaraian hitam syarikat gergasi telekomunikasi China, Huawei Technologies Co, oleh AS.
“Sudah tentunya, ada cakap-cakap bahawa pengalihan perdagangan akan berlaku dan akan memberi manfaat kepada negara-negara Asia lain. Bagaimanapun, peralihan kepada pembekal baharu boleh mengambil sedikit masa dalam banyak perkara terutamanya daripada sudut pandangan operasi.
“Jadi, kami fikir pengalihan perdagangan ini akan hanya berlaku dalam tempoh jangka sederhana hingga jangka panjang,” katanya.
Menurut laporan International Data Corporation (IDC), jualan telefon pintar global berkurangan sebanyak 6.6 peratus dalam suku pertama 2019, diterajui oleh jenama utama seperti Samsung dan Apple, yang masing-masing turun sebanyak 8.1 peratus dan 30.2 peratus, manakala Xiomi dan OPPO masing-masing susut sebanyak 10.2 peratus dan 6.0 peratus.
“Dalam erti kata itu, sektor teknologi sudahpun berada dalam aliran menurun dari segi jualan. Justeru, dengan atau tanpa perang perdagangan, sektor teknologi nampaknya telahpun mencatatkan prestasi perlahan,” kata Mohd Afzanizam.
Mengenai perkembangan lain, dilaporkan bahawa harga minyak jatuh berikutan peningkatan risiko permintaan berkaitan perang perdagangan AS-China.
Penanda aras global minyak mentah Brent diniagakan rendah pada US$67.23 setong pada Jumaat (semasa berita ini ditulis) daripada US$73.08 setong pada 20 Mei.
Penganalisis pasaran FXTM, Han Tan berkata hubungan yang semakin renggang antara AS-China akan menjadikan mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport (OPEC) pada bulan depan diberi tumpuan utama.
“Risiko permintaan dijangka diberi pertimbangan utama dalam keputusan akan datang oleh pengeluar-pengeluar minyak mengenai sama ada mengekalkan pengurangan pengeluaran sehingga separuh kedua tahun ini.
“Pada dasarnya, pertelagahan perdagangan AS-China dijangka menjejaskan permintaan minyak global bagi 2019 dan menyukarkan percubaan oleh OPEC dan pengeluar untuk mengimbangi semula pasaran minyak global, manakala keadaan tidak menentu yang berterusan sepatutnya tidak mengejutkan pelabur pada masa hadapan,” kata Han Tan.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit turun kepada 4.1870/1900 berbanding dolar AS daripada 4.1750/1780 sebelumnya.
Berikutan ketidakpastian global yang berterusan, ringgit dijangka diniagakan antara paras 4.1850 hingga 4.1950 berbanding dolar AS pada minggu depan.
— BERNAMA