KUALA LUMPUR – Malaysia tewas 16-38 kepada Korea Selatan dalam perlawanan kedua antara kedua-dua pasukan pada Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini malam tadi.

Dalam perlawanan itu, Korea Selatan yang berada pada ranking ke-30 dunia mendahului 10-0 pada minit ke-21 menerusi trai Cha Sungkun pada minit keempat diikuti trai kedua oleh Yang Daeyong pada minit ke 21 sebelum Mohd Fairuz Abdul Rahman menyempurnakan penalti empat minit kemudian menjadikan kedudukan 3-10.

Malaysia yang dibimbing Brad Mika, bekas pemain New Zealand yang berpengalaman mendapat trai sulungnya menerusi Amirul Mukminin Amizan pada minit ke-31 sebelum Mohd Fairuz menyempurnakan conversion menjadikan kedudukan 10-10 tetapi Korea Selatan kembali melebarkan mata kepada 10-17 dengan trai Na Kwanyoung dan conversion Park Jisu pada minit ke-34.

Pemain Korea memasuki bilik persalinan dengan kedudukan selesa 24-13 menerusi trai Shin Hyeonseong dan conversion Jisu pada minit ke-40 selepas Mohd Fairuz sekali lagi menyempurnakan penalti pada minit ke-36 sebelum waktu rehat.

Separuh masa kedua, Mohd Fairuz merapatkan jurang mata dengan penalti pada minit ke-52 tetapi Korea Selatan terlalu kuat dan memecahkan pertahanan Malaysia untuk mendapatkan 14 mata lagi menerusi trai Kim Namuk dan Lim Junhui pda minit ke-58 dan ke-77 juga hasil dua conversion yang disempurnakan Kim Kimin.

Malaysia tewas 14-52 kepada Korea Selatan apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan pembukaan di Incheon, Korea Selatan, Sabtu lepas.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Kapten Malaysia Dinesvaran Krisnan memuji aksi rakan pasukannya biarpun mereka tewas kali ini.

“Bukan keputusan yang kami harapkan tetapi saya amat bangga dengan semangat juang yang tinggi ditampilkan rakan sepasukan di mana saya rasa aksi malam ini lebih baik daripada perlawanan di Korea minggu lepas.

“Kami akan terus berusaha perbaiki kelemahan dan kesilapan untuk memberikan yang terbaik dalam dua perlawanan bertemu Hong Kong nanti,” katanya.

Malaysia akan bertemu pasukan di ranking ke-25 dunia, Hong Kong pada 15 Jun ini di Hong Kong Football Stadium sebelum perlawanan kedua di Kuala Lumpur pada 22 Jun. – MalaysiaGazette