Kohilan Pillay
Kohilan Pillay

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden Gerakan, Datuk A. Kohilan Pillay sah akan menyertai MIC, parti terbesar masyarakat India dalam masa terdekat.

Malah Kohilan yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri di dua Kementerian iaitu Kementerian Luar dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu memberitahu, jiwanya tetap bersama Barisan Nasional (BN) tidak kira apa jua.

Jelas Kohilan kepada MalaysiaGazette, beliau terpaksa meninggalkan parti Gerakan yang dianggotainya sejak 1992 kerana idealogi serta misi, visinya sudah tidak seperti dulu.

“Gerakan adalah sebuah parti yang sangat bagus namun kini ianya sudah tidak lagi sama dengan perjuangan saya, visi dan misinya bukan seperti dulu sehingga memaksa saya keluar darinya.

“Saya telah memilih MIC kerana ianya masih sama seperti dulu dengan perjuangan oleh komponen BN, malah penyokong serta pengikut setia saya tetap mahu saya terus bergelumang dalam arena politik.

“Saya tidak boleh sertai parti lain selain daripada arus dan fahaman BN, kerana itu saya rasakan sesuai untuk saya sertai MIC yang berada pada landasan betul, dengan penyertaan saya semoga parti keramat dapat diperkuatkan lagi pada masa-masa akan datang,” katanya sebentar tadi.

MGF21102018_PENGEMUMAN KEPUTUSAN PEMILIHAN MIC05
Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran

Portal bahasa Tamil, Anegun mendakwa Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran mengesahkan bahawa dua pemimpin iaitu Kohilan dan juga Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Tan Sri S Nallakaruppan akan menyertai parti itu dalam masa terdekat.

Kata Vigneswaran yang juga Yang DiPertua Dewan Negara, beliau juga akan memberikan ‘jawatan tinggi’ kepada kedua-dua pemimpin ini tanpa memberikan perincian bilakah ia akan dilakukan.

Vigneswaran juga menyatakan hasrat menggabungkan semua parti India di negara ini di bawah satu bumbung termasuk parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Makkal Sakthi namun semuanya dalam peringkat perancangan ketika ini.

Walaupun parti berasaskan kaum namun Vigneswaran tetap menegaskan perjuangan untuk kaum-kaum lain tetap menjadi keutamaan sama seperti sebelum-sebelum ini. – MalaysiaGazette