KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pagi ini berikutan kebimbangan berhubung perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China mula reda susulan laporan bahawa Presiden Donald Trump berkemungkinan meringankan sekatan terhadap Huawei Technologies Inc sebagai sebahagian daripada perjanjian perdagangan yang lebih besar dengan Beijing.
Pada 9.05 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), menokok 3.26 mata kepada 1,601.58 selepas dibuka 6.12 mata lebih tinggi pada 1,604.44.
Indeks itu mengakhiri 3.55 mata lebih rendah Jumaat lalu pada 1,598.32 tetapi ia adalah penurunan kecil berbanding bursa utama lain di seluruh dunia minggu lalu.
Kaunter naik mengatasi turun sebanyak 123 berbanding 71 dengan 128 kaunter tidak berubah, manakala 1,620 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung. – MalaysiaGazette