Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

PETALING JAYA – Peguam Syazlin Mansor tidak sepatutnya mengundurkan diri daripada inkues kematian anggota bomba.

Sebaliknya menurut Perdana Menteri, Syazlin masih boleh meneruskan peranannya sebagai peguam keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, meskipun tidak lagi boleh mewakili Kementerian Perumaham dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Tambah Tun Dr Mahathir Mohamad, peguam itu masih boleh menuntut kebenaran di dalam mahkamah tanpa perlu melepaskan kedudukannya dalam prosiding tersebut.

“Dia patut teruskan menjadi peguam bagi Adib. Tetapi dia tarik diri, beranggapan dia nak cari kebenaran. Dia boleh dapat kebenaran daripada mahkamah.

“Kalau kita tidak percaya mahkamah siapa lagi nak percaya mahkamah?,” katanya kepada pemberita ketika sidang media.

Dr. Mahathir mengakui bahawa kesilapan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin apabila tidak sedar peguam kerajaan dalam masa yang sama merupakan wakil MUhammad Adib.

Beliau berkata, isu tersebut sepatutnya tidak digunakan oleh pihak tertentu untuk mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas dan Zuraida dipecat.

“Kerajaan nak tentukan sebab-sebab Adib meninggal tetapi dia (Syazlin) dah wakil Adib, lepas tu jadi wakil kerajaan kerana pihak yang memilih (menteri) tidak sedar ini sudah menjadi peguam Adib.

“Orang bercakap tentang perkara ini (gesaan pecat Peguam Negara) secara membabi buta. Apa pun yang dia buat ada sebabnya.

“Adakah awak nak saya pecat Zuraida juga?,” katanya mengulas pengunduran diri Syazlin pada saat-saat akhir prosiding inkues semalam selepas menerima arahan daripada Peguam Negara menerusi surat bertarikh 23 Mei. – MalaysiaGazette