Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Bangunan Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 28 MEI 2019

PETALING JAYA  – Penubuhan sebuah lagi parti politik merupakan ‘perkembangan baik’ untuk menggalakkan lagi perpecahan Melayu.

Mengulas mengenai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Perdana Menteri secara sinis berkata, situasi mutakhir itu hanya akan mengakibatkan tiada lagi parti tunjang khusus untuk kaum Melayu.

“Kita bebas menubuhkan beberapa banyak parti dan kalau kita tubuh 100 parti cukup baik dengan itu orang Melayu akan dibahagi 100 dan tidak ada parti Melayu besar pun.

“Sebab saya galakkan lebih banyak penubuhan parti Melayu. Kita sengaja tentukan negara kita yang majoriti 60 peratus adalah Melayu tapi berpecah kepada empat. Tak mengapa juga,” katanya berseloroh.

Baru-baru ini Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan penubuhan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) .

Putra diasaskan oleh Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr Ibrahim Alii.

Dalam pada itu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 20 Julai bagi meminda perlembagaan parti.

Dr. Mahathir selaku Pengerusinya berkata tujuan pindaan dilakukan adalah menambah baik perlembagaan agar pentadbiran parti berjalan dengan lancar.

Terdahulu Dr. Mahathir  mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu. – MalaysiaGazette