Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador meluangkan masa melawat bazar ramadan pada Program Kepolisan Berprofil Tinggi di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 30 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia(PDRM) sedang menantikan pembentukan Suruhanjaya Siasatan Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) secara muktamad.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata beliau pula bertanggungjawab meyakinkan anggota dan pegawai polis kanan dalam PDRM untuk memastikan hak-hak kebajikan PDRM seperti yang diinginkan warga polis direalisasikan.

“Seluruh warga PDRM menantikan pembentukan IPCMC secara muktamad dan tanggungjawab saya pula untuk memujuk meyakinkan anak buah saya bahawa PDRM akan mendapat hak hak kebajikan yang ditagih sejak bertahun lama,” katanya kepada pemberita selepas melawat Bazaar Ramadan di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) bersama Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim petang tadi.

Program berkenaan merupakan anjuran Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Awam Bukit Aman dan Balai Polis TTDI untuk bersama komuniti awam bersempena bulan Ramadan demi menjamin keselamatan awam.

Menurut Abdul Hamid, sejak seminggu lalu beliau telah meluangkan masa melawat beberapa balai polis termasuk kuarters penempatan angota PDRM untuk melihat sendiri keadaan di situ.

“Seminggu ini saya dah turun dan baru sekejap tadi saya melihat kuarters balai TTDIĀ  sedih..saudara saudari boleh pergi ke luar pagar dan tengok atap macam mana, atap pecah peruntukan baiki tidak ada selama ini.

“Anggota yang duduk di situ selama ini terpaksa berkorbanlah…kalau nak keluar nak sewa rumah di Klang atau mana-mana mahal. terpaksalah duduk di sini walaupun bocor, menyewa di luar lebih mahal.

“Itu keadaan daifnya sesetengah balai, itulah sebab saya perjuangkan IPCMC, dan ia penting supaya apa yang rakyat kata PDRM ini tidak adil, PDRM ini kejam, saya akan beri peluang. Pada waktu yang sama saya nak jaga warga PDRM yang selama ini tak dapat hak-hak yang sepatutnya kerajaan berikan pada mereka.

“Dengan gaji RM1500 anak dua duduk di tengah-tengah Kuala Lumpur ini, cuba bayangkan (nasib polis),” tegasnya.- MalaysiaGazette