Linda Rafar
Linda Rafar. foto IQBAL BASRI, 01 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Ingatkan kontroversi saman antara pelakon dan penyanyi, Linda Rafar mengenai isu jururawat sudah selesai.

Ini kerana awal Ramadan lalu Linda telah memuat naik permohonan maaf kepada semua pihak atas tindakannya sebelum ini yang pernah menyaman 100 netizen.

Jelas ahli kumpulan Elite itu, pada bulan Ramadan yang mulia, dia tidak mahu lagi memanjangkan isu tersebut dan pada masa yang sama turut memaafkan mereka yang mengecam dirinya sebelum ini.

Namun seorang doktor popular iaitu Dr Rusyainie Ramli mendedahkan permohonan maaf itu dibuat kerana pihak terbabit sudah kalah saman.

Justeru, Linda telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Rusyainie dan menuntut permohonan maaf secara terbuka dan juga pampasan sebanyak RM 4 juta.

Menurut Linda, Dr Rusyainie telah melemparkan fitnah melalui Facebook sehingga dirinya kembali dikecam.

Ekoran penulisan itu juga, Linda mendakwa telah menerima persepsi negatif daripada masyarakat meskipun apa yang disebarkan itu tidak benar.

Selain Dr Rusyainie, Linda telah menghantar tiga pucuk surat tuntutan yang serupa kepada tiga pihak lagi untuk menuntut pampasan sebanyak RM1.5 juta.

Keempat-empat individu yang didakwa telah mencalarkan imej selebriti tersebut telah diberi tempoh tujuh hari untuk maklum balas sebelum tindakan undang-undang diteruskan terhadap mereka. – MalaysiaGazette