Duta Projek Sungai Nadi Kehidupan, Maya Karin beramah mesra dengan pengunjung di Bazar Ramadhan Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 31 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Pelakon dan aktivis alam sekitar Maya Karin, kesal dengan penjualan lemang periuk kera.

Katanya, trend yang semakin berleluasa itu hanya mengakibatkan pertumbuhan periuk kera semakin berkurang seterusnya terancam.

Justeru Maya berharap peniaga tidak terlalu ghairah mengikut trending namun mengabaikan penjagaan alam sekitar.

“Saya minta jangan ikut trend ini, sebab periuk kera tu sangat susah nak dijumpai dan hanya ada di hutan.

“Oleh sebab itu ia pokok yang menolong habitat lain untuk hidup, itu ironi nya itu yang saya marah sekarang.

“Saya harap sangat mereka berhenti. Saya minta dan saya harap untuk peniaga jangan buat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rumah Warisan.

Maya sebelum itu melawat tapak Bazar Ramadan Kg Baru mengagihkan 2,500 beg mesra alam ‘aku tak nak plastik’ sempena kempen ‘Green Ramadan’.

Pelakon berusia 40 tahun itu, menyelar tindakan segelintir peniaga yang mengejar keunikan untuk melariskan jualan mereka tanpa memikirkan keutamaan menjaga alam sekitar termasuk tumbuhan tersebut.

Demi menjaga kelestarian tumbuhan itu peniaga, katanya, mungkin boleb menggunakan kreativiti  tanpa perlu menggunakan periuk kera yang asli.

“Susah ya tapi saya harap mereka faham dari apa yang saya terangkan. Sebab banyak orang tak tahu, sebab mereka fikir ia cool, memang nampak cantik, unik berbeza.

“Tapi mungkin kita kena cipta fake periuk kera,” ujar duta Sungai Nadi Kehidupan itu lagi.

Baru-baru ini, seorang peguam dan juga Pengerusi Persatuan Pencinta Alam cawangan Negeri Pahang, Jehan Bakar berkongsi mengenai periuk kera kepada orang ramai di Facebook.

Beliau berkata, ramai orang tidak tahu bahawa tumbuhan jenis nepenthes macrophylla ini telah tersenarai dalam IUCN sebagai spesis yang terancam.

Justeru beliau menyeru agar masyarakat hari ini tidak terpengaruh makan lemang periuk kera. -MalaysiaGazette