KUALA LUMPUR – BUSANA@Menara MARA kekal menjadi pusat beli-belah pilihan warga kota apabila dikunjungi lebih 250,000 pengunjung pada Karnival WOW Raya sepanjang Ramadan lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif MARA Incorporated Sdn. Bhd. (MARA Inc.), Ts Mohd. Fadzil Mohd. Idris berkata, sambutan luar biasa itu membuktikan pusat beli-belah BUSANA @Menara MARA mempunyai pelanggan yang setia walaupun perlu bersaing dengan pusat beli-belah terkemuka yang lain.
Menurut beliau, nilai jualan yang dijana oleh usahawan-usahawan pada Karnival WOW Raya mencecahkan lebih RM600,000 yang menunjukkan trend membeli-belah secara fizikal masih relevan dan menjadi budaya orang ramai untuk membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri.
“Kalau kita tengok budaya Masyarakat dari zaman kanak-kanak, azalinya kita akan membeli-belah secara fizikal terutamanya di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang terkenal dengan kemeriahan bukan sahaja pakaian tetapi makanan untuk menjamu selera selain dapat berkumpul bersama keluarga dan kawan -kawan.
“Mungkin beli-belah atas talian ini adalah trend baharu dan masih ada lagi pasarannya dan tambahan daripada itu, semasa Covid-19 ia sangat efektif. Tetapi kalau kita lihat trend terkini, masih terdapat Masyarakat yang masih gemar dan memilih untuk keluar membeli-belah dan apatah lagi banyak pilihan terdapat di BUSANA@Menara Menara,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.
BUSANA@Menara MARA adalah pusat beli-belah lima tingkat terletak di kawasan segi-tiga emas iaitu di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Bangunan beli belah BUSANA @ Menara MARA ini diurus dan dikendalikan sepenuhnya oleh MARA Inc iaitu sebuah anak syarikat milik penuh MARA Corporation.
MARA Inc juga berperanan mempromosikan produk-produk usahawan Bumiputera selaras dengan peranan strategiknya dalam sektor ekonomi.
la turut menguruskan pelbagai portfolio hartanah dalam dan luar negara termasuk Hotel Premiera Kuala Lumpur serta beberapa asetnya temasuk di United Kingdom dan Australia.
Mengulas lanjut, Mohd. Fadzil berkata, Mara Inc telah merancang beberapa inisiatif untuk diteruskan bagi menjalankan kempen pemasaran serta kesedaran kepada pengunjung mengenai produk baharu yang terdapat di BUSANA@Menara MARA seperti gymnasium & MARA Digital
Beliau berkata, ruang sewaan juga akan ditambah di seluruh negara bagi memenuhi keperluan hartanah dalam usaha memastikan bisnes pengurusan hartanah, penyewaan bangunan dan hospitaliti dapat diteruskan untuk tempoh jangka masa panjang.
“BUSANA @Menara MARA kini telah mencecah 90 peratus penyewaan dan kami menyasarkan penyewaan penuh 100 peratus dapat dicapai pada penghujung tahun 2024 ini Di samping itu, kami juga turut bekerjasama dengan pemain industri yang lain di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman seperti Maju Junction dan Kompleks Pertama bagi merancakkan eko-sistem melalui jualan silang (cross selling) dan padanan perniagaan (business matching) dan juga guna pakai bersama kemudahan-kemudahan sedia ada”
“BUSANA@Menara MARA mempunyai pasaran sendiri dan produk yang ditawarkan adalah niche selain mencipta inkubator kepada usahawan untuk memulakan perniagaan sebelum mereka keluar ke pasaran lebih luas apabila berjaya kelak,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Fadzil memberitahu, penganjuran Karnival WOW Raya merupakan sebahagian daripada strategi pemasaran berterusan syarikat itu bagi menghargai pengunjung-pengunjung yang berbelanja lebih RM150 untuk memenangi cabutan bertuah.
Antara hadiah yang ditawarkan adalah iPad Generasi ke 10, sebuah pembersih vakum Perysmith X Barbie Cordiess dan kepingan emas seberat 0.5 gram. MARA Inc turut mendapat tajaan dari anak syarikatnya Premiera Hotel Kuala Lumpur dan juga daripada usahawannya yang terkenal seperti Ramun Delights, Penyet Penyet.com dan Noor Arfa Batik. – MalaysiaGazette