Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad

PUTRAJAYA – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) tidak menolak kemungkinan menganjurkan himpunan raksasa selepas Hari Raya Aidilfitri ini sekiranya memorandum dan laporan polis yang dibuat ke atas Tommy Thomas tidak mendapat perhatian serius pihak berwajib.

Timbalan Pengerusinya, Kamaruzaman Mohamad berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengerah orang ramai turun ke jalanan sekali lagi di ibu negara sekiranya Tommy masih bertugas dan salah lakunya tidak dikenakan tindakan.

“Selepas ini (hari raya) kami hantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan juga perdana menteri.

“Sekiranya tidak mendapat respons positif, kemungkinan kita akan mengadakan satu lagi perhimpunan perdana raksasa mengumpulkan seluruh rakyat yang prihatin yang mahukan keadilan untuk Muhammad Adib.

“Kita mahu negara ini dibebaskan daripada seorang penjawat awam yang tidak sedia untuk menjalankan tugas sebagai Peguam Negara,” katanya pada sidang media di lobi Jabatan Peguam Negara, di sini, hari ini.

Adib
Antara ahli-ahli UMMAH memegang poster desakan kepada peguam negara ketika hadir menyerahkan memorandum desakan Peguam Negara, Tommy Thomas untuk meletakkan jawatan dihadapan pintu masuk Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 31 MEI 2019

Semalam Ummah dan Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) membuat laporan polis terhadap Tommy kerana didakwa menimbulkan kacau ganggu dalam isu besar negara termasuk campur tangan dalam inkues anggota bomba, isu ICERD dan Statut Rom.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu mendesak polis menyiasat Tommy di bawah Seksyen 212 Kanun Keseksaan kerana kemungkinan melindungi pesalah (melalui, kacau ganggu ke atas prosiding inkues).

Tommy juga perlu disiasat di bawah Seksyen 219 Kanun Keseksaan kerana kemungkinan menggunakan jawatan awamnya sebagai Peguam Negara dengan cara tak jujur dan dengan jahat membuat laporan, perintah dan keputusan dalam prosiding inkues bagi menindas keadilan dalam prosiding itu.

Peguam Negara itu juga perlu disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana kemungkinan beliau menyalahgunakan kedudukan Peguam Negara.

Sementara Itu, Kamaruzaman berkata perhimpunan itu akan dianjurkan lebih besar daripada Himpunan Mempertahan Kedaulatan Islam sebelum ini.

“Perhimpunan di mana, itu kita tunggu bila tiba masanya kita akan umumkan nanti

“Berapa besar tengok keadaan kalau perkara masih rumit lagi macam ini mungkin besar, kita tak boleh jangkakan berapa besar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette