Salahuddin Ayub
Datuk Salahuddin Ayub. foto NOOREEZA HASHIM, 23 MEI 2019.

JOHOR BAHRU – Durian bulat sejuk beku kini dibenarkan dieksport ke China, sebagai permulaan dihantar ke wilayah Beijing dan Guangzhou, pada musim ‘raja’ buah itu Julai atau Ogos ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, Malaysia mendapat kelulusan pihak berkuasa China untuk mengeksport durian jenis Musang King pada 30 Mei lepas selepas pihak berkuasa negara itu melakukan pemeriksaan terhadap sembilan syarikat perladangan buah berkenaan.

“Ini berita gembira dalam minggu ini. Alhamdulillah, durian kita dalam bentuk ‘whole fruit (sejuk beku) sudah boleh dieksport ke China. Kita menunggu sekian lama (untuk eksport), tetapi kali ini, atas inisiatif Perdana Menteri sendiri.

“Saya juga sudah dua kali dalam siri lawatan penting ke China pada Ogos tahun lepas dan Mac lepas, mengiringi Perdana Menteri ke China di mana dua pertemuan peringkat tertinggi mesyuarat kerajaan Malaysia dan China, Perdana Menteri telah menekankan industri durian yang berpotensi di Malaysia dan China pula menawarkan pasaran yang cukup luas di China,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri @ Pasar Tani di Pasar Tani Datin Halimah, di sini hari ini.

Salahuddin berkata, menerusi dua lawatan ke China berkenaan, delegasi Malaysia ditaklimatkan bahawa daripada 1.4 bilion rakyat republik itu, hanya satu peratus sahaja yang dapat merasa kenikmatan Musang King.

Beliau berkata, ia membuktikan eksport durian ke China amat cerah dan kementeriannya akan memastikan peluang berkenaan dijayakan.

“Biasanya, selepas pemeriksaan, perlu menunggu sampai dua atau tiga tahun untuk mendapat kelulusan (import) tetapi Alhamdulillah, kerajaan China telah memberikan kelulusan, maknanya sekarang kita boleh import ‘whole fruit’, sebelum ini kita hanya dibenarkan import durian dalam bentuk pulp (isi) dan pes sahaja,” katanya.

Beliau berkata antara Musang King yang bakal dieksport itu melibatkan dari dusun di Johor, Pahang dan utara Semenanjung, namun, jumlahnya belum dapat dipastikan.

Salahuddin sehubungan itu turut memberi amaran kepada syarikat yang terlibat dalam eksport buah berkenaan supaya tidak menipu dengan meletakkan jenis durian lain, yang bukannya Musang King untuk dieksport.

“Musang King mesti tulen, jangan tipu. Saya bagi amaran kepada syarikat yang diizinkan supaya benar-benar jujur memelihara nama baik Malaysia. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan menarik balik kelulusan daripada kementerian sekiranya mereka cuba mencapai keuntungan dalam masa terdekat dengan merosakkan integriti,” katanya. – Bernama