Asap tebal dari kilang bom yang terbakar di bandar Dzerzhinsk, Rusia. foto Reuters

MOSCOW – Sebuah kilang yang menghasil dan menempatkan bom meletup di bandar Dzerzhinsk mengakibatkan 38 orang cedera.

Agensi Interfax berkata, kemudahan di Institut Penyelidikan JSC Kristall itu musnah sama sekali.

Difahamkan terdapat lima orang berada dalam kilang semasa letupan berlaku tetapi berjaya dikeluarkan.

Setakat ini, bomba tidak pasti jika ada orang berada dalam bangunan terbabit.

Jurucakap Kementerian Kecemasan Rusia memberitahu, empat daripada 38 orang dalam keadaan serius tetapi tiada laporan kematian.

Terdahulu, seorang jurucakap Kementerian Kesihatan berkata, kebanyakan mangsa mengalami “luka ringan dan sederhana”.

Pegawai mengatakan bahawa terdapat “letupan teknikal” di salah satu bengkel, yang mengakibatkan kebakaran sekitar 100 meter persegi.

April lepas, tiga orang meninggal dunia dalam satu lagi letupan kilang di Dzerzhinsk, yang dipercayai menjadi salah satu daripada bandar paling tercemar di dunia. – MalaysiaGazette